Bersediakah Anda Untuk Guna Kerusi Kereta Kanak-kanak?

Apa ada di pasaran ketika ini?

Jangan lupa, penggunaan kerusi kereta kanak-kanak bakal diwajibkan untuk kenderaan peribadi menjelang 2020 ya.

Justeru, pelbagai usaha pada ketika ini sedang giat dilakukan bagi meningkatkan kesedaran bagi penggunaannya malah, dua jenama kenderaan telah memulakan aktiviti serta kempen yang spesifik bagi menyokong usaha kerajaan ini.

Foto: ING Image/Click Photos

Contohnya, Perodua, jenama kenderaan tempatan telah melancarkan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak IsoFix GearUp dalam dua  model – kerusi Infant dan kerusi Toddler.

Kerusi Infant bersesuaian buat bayi yang beratnya sehingga 13kg dan boleh didapatkan dalam rona merah atau kelabu manakala kerusi Toddler direka untuk kanak-kanak yang beratnya antara sembilan ke 36kg dan ditawarkan dalam warna merah atau hitam.

Sepanjang Ramadan lalu, Perodua menjalan kempen mendidik, memberi kesedaran serta mempromosikan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan terutamanya bila dalam perjalanan balik kampung,” kata Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, naib presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Perodua.

Kerusi untuk Toddler

Sepanjang 13 Mei sehingga 30 Jun ini, Perodua turut menawarkan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak IsoFix GearUp dengan harga promosi RM660 (harga asal RM785) bagi kerusi Infant dan RM780 (harga asal RM975) untuk kerusi Toddler.

“Sebagai pengeluar kenderaan Malaysia, ia menjadi tanggungjawab kami untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada para pelanggan kami serta masyarakat ramai mengenai keselamatan jalan raya. Kami sedar bahawa pendidikan adalah satu proses jangka panjang, namun kami akan terus komited terhadap usaha tersebut,” tambah Suhaimi.

Sementara itu, BMW Malaysia pula menerusi Program BMW Safety 360° edisi kelima, ia menjalin kerjasama dengan Childline Foundation – organisasi bukan bermotifkan keuntungan  bermatlamat untuk memberi kesedaran dan didikan mengenai keselamatan kanak-kanak – bagi melancarkan Dari Hari Pertama – kempen yang mensasar menaungi kepentingan kerusi kanak-kanak, terutamanya bagi kelahiran bayi baharu.

May Hwong, Konsultan Keselamatan Penumpang Kanak-kanak di Childline Foundation berkongsi amalan keselamatan terbaik untuk si kecil dengan ibu.

Menerusi sokongan yang diunjurkan Chicco Malaysia, kempen ini dimulakan dengan pemberian kerusi kereta kanak-kanak Chicco KeyFit 30 kepada enam bayi pertama yang dilahirkan pada Hari Bapa di Hospital Putrajaya. Ibu bapa kanak-kanak ini juga telah mempelajari amalan betul yang berkenaan dengan keselamatan kanak-kanak daripada konsultan keselamatan penumpang yang mewakili Childline Foundation. Sesi perkongsian tersebut meliputi kriteria pemilihan kerusi kereta kanak-kanak yang wajar, kaedah pemasangan yang betul, serta kitaran hidup kerusi khas berkenaan.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Peraturan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak yang bakal berkuat kuasa sebaik sahaja 2020 membuka tirai, kami percaya usaha berterusan untuk menerapkan kepentingan kerusi khas ini diperlukan, terutamanya demi keselamatan anak-anak yang baru dilahirkan.

“Fokus yang diberikan ‘Dari Hari Pertama’ adalah untuk memastikan ibu bapa tahu cara memelihara keselamatan anak mereka sejurus keluar dari hospital bersalin. Atas tujuan tersebut, kami berikhtiar secara berterusan untuk menjalin kerjasama dengan pakar industri ini agar didikan mengenai keselamatan kanak-kanak dapat diberikan kepada ibu bapa serta memastikan kerusi khas ini dapat diakses secara meluas oleh orang ramai.”

Enam ibu yang melahirkan anak pada Hari Bapa menerima kerusi keselamatan kanak-kanak di Hospital Putrajaya.

Program subsidi tersebut akan diperkenalkan terlebih dahulu kepada lima hospital kerajaan yang terletak di Lembah Klang. BMW Malaysia dan Safe ‘n Sound akan mensubsidikan 150 kerusi kereta mudah bawa (carrier) ‘snskidz Ace’ yang setiap satunya bernilai RM100. Dengan tetapan menghala ke belakang, kerusi khas yang bernilai RM199 ini boleh digunakan dari usia kelahiran awal sehingga berat bayi mencecah 13kg, serta produk tersebut hadir dengan persijilan ECE R44-04.

Program latihan keselamatan penumpang kanak-kanak akan diperkenalkan kepada lima hospital kerajaan yang terpilih, kakitangan hospital berkenaan akan belajar tentang amalan keselamatan kanak-kanak yang betul daripada konsultan keselamatan penumpang yang mewakili Childline Foundation. Ceramah dan konsultasi berkenaan dengan keselamatan penumpang kanak-kanak juga akan diberikan kepada ibu bapa yang menghadiri kelas antenatal di hospital berkenaan.

BACA JUGA: Tip Persediaan Kewangan Untuk Sambut Kelahiran Anak