Empat Sebab Berlaku Gangguan Komunikasi Dalam Keluarga

Tidak dinafikan kepesatan arus pembangunan menambah cabaran kepada keluarga yang semakin hanyut dengan kelekaan teknologi  maka ibu bapa perlu memainkan peranan dua kali ganda dalam memupuk komunikasi dalam hubungan kekeluargaan.

Menurut Haryati Ariffin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, apabila tidak berlaku sebarang komunikasi dalam keluarga, ia pasti akan menimbulkan persepsi atau andaian bahawa telah berlaku satu konflik yang sebenarnya tidak pernah wujud.

Gambar : Ingimage

Ibu bapa perlu menggalakkan anak bercakap dan berkongsi pendapat daripada kecil jika mereka mempunyai masalah. Apabila diasuh sebegitu, ia akan memudahkan mereka untuk berkongsi masalah bersama ahli keluarga tanpa rasa malu.

“Sebagai contoh, jika si ibu memarahi anaknya tetapi mengambil tindakan untuk berdiam diri dan tidak menegur si anak pastinya dia akan tertanya mengapa si ibu tidak mahu bercakap dengannya dan akhirnya ia menjadi konflik yang tidak diselesaikan dan akhirnya memakan diri si ibu sahaja,” ujarnya.

Berikut adalah beberapa faktor yang menyebabkan gangguan komunikasi berlaku:

  • Tanggapan yang salah dan tindakan melulu

Sikap buruk ini akan menyebabkan berlaku salah faham dan komunikasi dua hala terjejas dan akhirnya mengakibatkan muncul perasaan dendam antara ahli keluarga. Setiap ibu bapa perlu memberi contoh yang baik kepada anak kerana setiap tingkah laku mereka menjadi ikutan kepada anak –anak.

  •    Bercakap pada waktu yang tidak sesuai

Waktu memainkan peranan yang penting dalam komunikasi. Pilih waktu yang sesuai untuk menegur kesalahan atau tujuan menasihati. Contohnya, jika si suami menasihati si isteri atau mengkritik mereka pada saat keletihan setelah seharian bekerja. Ia boleh mendatangkan reaksi negatif dan hanya akan menambah masalah yang tidak diselesaikan.

  • Berprasangka negatif terhadap ahli keluarga

Ahli keluarga tidak boleh memandang rendah atau melabel ahli keluarga yang lain dengan kekurangan tertentu. Contohnya, jika isteri mempuyai jawatan yang lebih tinggi daripada suaminya maka dia akan rasa bangga diri serta memandang rendah terhadap suami. Hal ini akan menimbulkan halangan komunikasi antara suami isteri dan yang menjadi mangsa keadaan ialah anak.

  • Kurang kemahiran mendengar

Mendengar antara proses terpenting yang perlu diajar bermula daripada peringkat kanak-kanak lagi. Ia perlu diterapkan dalam setiap ahli keluarga supaya tidak akan berlaku salah faham dan akan mendengar kata sehingga meningkat dewasa nanti. Jika tidak diajar maka anak akan bertindak sebaliknya iaitu dengan bersikap endah tidak endah dengan situasi berkenaan. Oleh yang demikian, budaya atau kemahiran mendengar secara aktif perlu menjadi asas supaya halangan komunikasi dapat dihindarkan.