Anak Degil? Ini Enam Cara Untuk Mengendalikannya

Ada enam cara yang boleh anda cuba untuk mengendalikan anak degil

Mempunyai anak yang bersikap degil dan keras kepala adalah perkara yang biasa dilalui oleh ibu bapa. Kesabaran amat penting dalam mengendalikan anak yang bersikap degil ini dan mungkin anda boleh gunakan enam cara ini untuk mengendalikan anak yang bersikap degil.

Gambar: Shutterstock

Mendengar

Walaupun cara ini mudah untuk dilakukan, namun ibu bapa cenderung untuk mengabaikan ini. Ibu bapa biasanya ingin melakukan sesuatu mengikut cara mereka dan sering memaksa anak untuk mematuhi apa yang dimahukan. Tetapi, anak anda mempunyai minda mereka sendiri dan anda tidak akan tahu sekiranya anda tidak mendengar apa yang mereka inginkan.

Berunding

Pastinya anda juga tidak suka jika ada orang lain mula memerintahkan anda untuk melakukan perkara yang tidak disukai. Hal ini sama juga seperti anak anda. Mereka juga ingin mengawal hidup mereka. Oleh itu, anda boleh cuba mengubah cara anda dengan memberikan mereka pilihan untuk dipilih. Berunding dengan mereka untuk memilih pilihan yang terbaik. Bimbing mereka dan bukannya memerintah.

Sentiasa Tenang

Mengendalikan anak yang bersikap degil sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika anda juga seorang yang panas baran dan degil, bagaimana anda ingin mengharapkan anak untuk belajar? Sentiasa bersikap tenang setiap kali anda berhadapan dengan mereka. Sekiranya, anda tidak boleh melakukannya, minta pasangan untuk mengambil alih seketika supaya anda boleh menenangkan diri.

Hormat

Semua orang ingin rasa dihormati. Begitu juga dengan anak anda. Jangan sesekali anda memarahi anak anda di khayalak ramai hanya kerana dia tidak mahu mendengar cakap. Lebih lagi jika anda mengeluarkan kata yang boleh mengguris hati anak. Ini kerana, pertama, ia bukan pandangan yang  baik untuk dilihat dan kedua, anak anda pasti akan berasa malu. Bercakap secara baik dengan mereka. Kalau nak marah sekali pun, pastikan anda lakukannya di rumah. Layan mereka seperti orang dewasa, sama seperti anda mahukan orang lain melayan anda.

Berjiwa Kental

Anak yang bersikap degil ini sering berkata ‘tidak’ kepada apa sahaja yang anda mahukan. Anda perlu galakkan mereka untuk berkata ‘Ya’ kepada permintaan anda. Caranya adalah dengan melakukan perundingan seperti di atas. Anda juga tidak boleh cepat mengalah dengan permintaan mereka. Tetapkan pendirian untuk mengubah sikap anak anda.

Berikan Pilihan

Berikan anak anda tidak lebih daripada dua pilihan dan pastikan pilihan yang anda berikan itu boleh membuatkan mereka berkata ‘Ya’ kepada permintaan anda. Sebagai contoh, waktu mandi. Waktu mandi mungkin agak sukar bagi sesetengah ibu bapa. Daripada bertanya kepada anak, “Alif, nak mandi?” adalah lebih baik jika anda berikan mereka pilihan seperti ini:

“Alif nak mandi dengan kereta mainan?” atau “Alif nak bawa mainan masa mandi?”

Ini akan membuatkan anak anda tertarik untuk memenuhi permintaan anda jika mereka diberikan pilihan.

Persekitaran Positif

Selalunya anak akan belajar daripada ibu bapa mereka. Jika anda seorang yang degil dan selalu berkata tidak kepada banyak perkara, anak anda pun akan melakukan hal yang sama. Jika persekitaran keluarga anda ada masalah, inilah masanya untuk memperbaikinya. Tidak kiralah sama ada ia melibatkan isu rumah tangga atau masalah dengan keluarga mertua. Jika anda tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya, mungkin anda boleh cuba menggunakan khidmat kaunselor.