Rawat Kulit Kala Beradu

Ketahui mengenai krim malam untuk keserian kulit wajah.

Tingkatkan kelembapan kulit wajah, barulah kulit tampil sihat dan tidak kusam lagi. Jika anda bekerja siang hari dan berehat pada waktu malam untuk melegakan keletihan, sama juga dengan kulit wajah. Ia juga mempunyai sistem dan putaran tersendiri. Di siang hari, ia bertindak sebagai perisai bagi melindungi kulit daripada pencemaran, radikal bebas dan bakteria.

Untuk itu, di malamnya, ia berfungsi merawat setelah ‘bekerja keras’ pada siangnya dengan menjana semula sel kulit dan mengunci lembapan demi impian anda untuk memiliki kulit yang sihat dan segar.

Berikut ialah manfaat dan kenapa anda harus menggunakan krim malam.

  • Menyalur, meningkat dan mengunci kadar kelembapan kulit wajah.
  • Menghaluskan tekstur kulit wajah.
  • Melega dan meredakan kesan iritasi atau kemerahan pada kulit wajah.
  • Membantu menggalakkan penghasilan kolagen jika rumusannya bersesuaian.
  • Mengurangkan kesan garis halus dan kedutan terutamanya pada kawasan mata.
  • Membantu menganjal dan menegangkan kulit wajah.
  • Menjana dan memperbaharui sel kulit wajah.

BAGAIMANA MEMILIH KRIM MALAM YANG BETUL?

Memilih krim malam yang sesuai sangat penting, kerana ia harus bersesuaian dengan keperluan jenis kulit anda. Jika salah menggunakan produk, anda tidak akan menikmati manfaat dan tidak dapat melihat kesannya.

Antara tip penting yang harus anda ambil peduli ialah, pilih krim malam yang bertekstur ringan dan halus. Seeloknya pilih daripada jenis gel ataupun mempunyai rumusan berasaskan-air. Ini kerana ia mempunyai efek mendinginkan yang mana bagus untuk mereda dan melegakan kulit kelesuan. Bayangkan bila terkena efek sejuk, kulit terasa amat segar!

Jika anda memilih krim yang mempunyai tekstur yang berat, ia boleh menyumbatkan liang pori kulit dan membuatkan kulit sukar bernafas.

CARA GUNAKANNYA…

  • Bersihkan wajah anda dan diikuti dengan aplikasi penyegar wajah. Biarkan seketika agar ia meresap ke dalam kulit.
  • Oleskan krim malam dan tepuk perlahan pada keseluruhan wajah.
  • Urut perlahan melawan arah jam dan ratakannya.

 

CUBA JUGA PETUA INI…

Jika anda mempunyai masa dan rajin, boleh juga buat sendiri krim malam anda.

  • Sediakan ½ biji timun, sebiji telur (ambil putihnya sahaja) dan ½ cawan minyak zaitun.
  • Campur kesemuanya dan kisar hingga halus.
  • Sapukan pada wajah dan biarkan selama 20 minit sebelum dilap dengan kain bersih.

 

TIP :

INI PATUT ADA DALAM KRIM MALAM ANDA…

Antara rumusan atau bahan kandungan yang disarankan harus ada dalam krim malam pilihan anda ialah, Vitamin C, Vitamin E, minyak jojoba, shea butter, aloe vera, madu, kolagen dan asid amino.