Poney Terokai Kemajuan Teknologi Tekstil Bersama NanoTextile

Kerjasama terbaru Poney dan NanoTextile untuk rangkaian terbaru Baby Essential Extra Care.

Jenama pakaian bayi terkenal, Poney ,  meneroka peluang memperkembangkan kerjasama dalam bidang teknologi nano dan tekstil bersama NanoTextile.  Pada 16 Julai 2019, telah berlangsungnya  majlis pelancaran Baby Essential Extra Care, produk dan koleksi baharu Poney hasil daripada usahasama ini, yang diadakan sempena perasmian butik Poney terbesar dan terbaru di Central i-City, Shah Alam.

Turut hadir sama pada majlis ini ialah  pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Poney, Albert Tan, Pengerusi NanoTextile Dato’ Dr. Cheng Kok Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Bhd, Dr. Rezal Khairi Ahmad.

NanoTextile dan Poney bersedia untuk memperluas rangkaian kerjasama ini ekoran permintaan tinggi terhadap produk pakaian yang berasaskan teknologi. NanoTextile  berazam untuk meningkatkan pengkomersialan tekstil teknikal melalui potensi inovatif nanoteknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoTextile Dr. Thomas Ong berkata, kerjasama ini sangat menarik kerana ia menemukan dua bidang yang besar iaitu  fesyen bertemu teknologi, menjadikan usahasama ini lagi mengujakan ramai.

“Matlamat kami tetap tidak berubah, iaitu membantu klien meningkatkan kelebihan kompetitif dan nilai tambah mereka dengan menggunakan teknologi kami. Kami yakin kerjasama ini bakal meningkatkan nilai daya saing industri tekstil dan pakaian Malaysia melalui penggunaan produk tekstil teknikal berdasarkan nanoteknologi, sekaligus memperkuat ekosistem tekstil negara secara menyeluruh.” katanya.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Poney  Albert Tan berkata, pelancaran produk baru ini  Baby Essential Extra Care sangat mengujakan kerana ia sesuatu yang baru bagi bidang fesyen terutamanya buat jenama pakaian bayi dan kanak-kanak.

“Fokus kami kekal tertumpu kepada penyelesaian yang mengutamakan pelanggan dan bukan sekadar produk, dengan lebih tumpuan terhadap penggunaan teknologi nano bagi meningkatkan nilai proposisi kami. Hasil kerjasama ini  ialah sebagai langkah permulaan usahasama jangka panjang. Perancangan kami bagi memastikan jenama kami kekal sebagai jenama pilihan utama pakaian kanak-kanak, satu prioriti dan melakukannya dalam cara yang memenuhi kehendak pelanggan secara inovatif, akan sentiasa berada dalam agenda kami,” ulasnya.

Info:  Poney  kini mempunyai lebih daripada 35 pusat perniagaan sejak penubuhannya pada tahun 1992. Dua buah lagi concept store seperti yang dirasmikan di Central i-City, Shah Alam dijangka dibuka pada akhir tahun 2019. Poney  mensasarkan untuk membuka 15 concept store dalam masa 3 tahun.

Koleksi Poney Baby Essential Extra Care ini bukan sahaja hadir dengan pelbagai jenis pakaian, malah ia turut boleh membantu menghalang bakteria, menyingkirkan bau, dan mempunyai tekstur fabrik yang halus, lembut dan selesa untuk dipakai oleh bayi dan kanak-kanak.