PESONA JELITA ERRA FAZIRA

Ketahui bagaimana Erra Fazira menjaga dan memelihara kecantikannya.

Siapa yang tidak kenal dengan primadona filem melayu yang satu ini, Erra Fazira? Namanya cukup gah di dalam dunia seni tempatan dan mempunyai kelasnya yang tersendiri. Kecantikannya dicemburui ramai dan tidak pernah pudar. Malah, semakin hari dia dilihat semakin cantik dan kekal muda.

Erra Fazira  antara artis yang seakan tidak dimakan usia. Mempunyai susuk tubuh yang tinggi lampai dan langsing, berkulit cerah mulus, pesonanya masih menawan walaupun sudah menginjak usia empat siri. Sedar usianya bukan semakin muda, Erra akui harus memberikan lebih perhatian untuk memelihara kecantikan itu.

“Saya jaga dan belai kulit wajah kerana ia adalah aset dan tanggungjawab, selain itu ia juga adalah sebahagian daripada tuntutan tugas ini. Saya sendiri mahu berketerampilan baik dan sentiasa positif. Jangan sesekali kita bersaing atau meniru dan mencuba mahu jadi cantik seperti orang lain. Setiap individu punyai kecantikan tersendiri yang harus dipelihara dan dihargai.  Untuk itu, saya sangat berdisiplin dengan rutin asas penjagaan wajah. Kerana di situlah bermulanya jika mahukan kulit yang sentiasa segar dan berseri.

“Saya juga sangat menitikberatkan penjagaan tubuh agar kekal sihat dan langsing.  Apatah lagi pada usia seperti saya sekarang ini. Suka atau tidak, sistem badan sudah bertukar dan gaya pemakanan juga perlu berubah. Saya harus peka dengan perubahan badan saya. Tambahan pula, saya seorang yang kuat makan dan suka makan. Jadinya, saya harus seimbangkan antara pemakanan dan senaman.

“Selain itu, saya juga ambil suplemen mengikut keperluan, tetapi saya tidak suka amalkan sesuatu untuk jangka masa yang panjang. Apa sahaja yang saya ambil, ianya maksimum sehingga tiga bulan sahaja. Kemudian saya berhenti. Dan saya ambil kembali jika saya rasa tubuh memerlukannya.” katanya.