Konsert Exists Reunion September Ini

Dibarisi lengkap semua formasi asal Exists.

Sudah tentu ramai yang merindui kumpulan Exists, apatah lagi kebanyakan lagu mereka masih rancak didendangkan dan tidak pernah jemu di telinga. 2019 bakal menjadi saksi di mana kumpulan hebat ini akan hadir dengan Konsert Exists Reunion. Acara ini pastinya telah lama dinantikan oleh seluruh peminat Exists. Shiraz Projects dengan berbesar hati mengumumkan bahawa Exists akan memuaskan adrenalin semua peminat mereka dengan bukan satu, tetapi dua siri konsert reunion mereka!

Apabila meletakkan label ia sebagai reunion, ini bermaksud kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991 ini tampil lengkap bersama formasi asalnya dalam konsert yang Shiraz Projects bawakan.

Konsert Exists Reunion buat pertama kalinya dalam sejarah menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalis mereka Mamat dan Ezad.

“Adalah penting buat kami untuk merealisasikan Konsert Exists Reunion ini bersama semua anggota asal Exists kerana tanpa formasi Exists yang lengkap, maka projek ini boleh saya katakan tidak menemui objektif sebenar. Namun setelah sesi pertemuan dan mencapai kata sepakat dengan satu visi yang sama, maka Konsert Exists Reunion akan segera tertunai dan yang pentingnya ia adalah kewujudan semula Exists yang pernah menjadi fenomena pada 90-an, tetapi kali ini menghidupkan nostalgia pada akhir 2019,” kata Pengarah Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.

Lagu Membuai Kenangan Peminat Exists

Dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 September 2019, Konsert Reunion Exists menjanjikan sebuah nostalgia yang tidak mungkin boleh didapatkan dalam persembahan Exists sebelumnya. Selain ia adalah gabungan pertama kali seluruh anggota asal Exists, mereka juga akan mempersembahkan katalog lagu dengan dinyanyikan oleh penyanyi asal yang pernah membawa nama band ini harum sehingga ke Indonesia.

Untaian hit daripada Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara dan Untukmu Ibu yang memperkenalkan Exists dengan Mamat pada waktu itu masih berusia 13 tahun akan disampaikan pula kali ini dalam persembahan Mamat di usianya 30 tahun.

Kemudian Ezad yang menyertai Exists menggantikan Mamat pada 1996 menyambung legasi sukses Exists dengan album Diammu Gunung Berapi yang mengandungi banyak hit serta lagu daripada album keempat (Jangan Gentar) dan seleksi album Ada sehingga Paragon akan membuat penonton tidak senang duduk sepanjang konsert yang bakal berlangsung kelak. Mengusung konsep sama, Exists akan menyapa peminat mereka di Singapura pada 5 Oktober 2019 di Mes Theatre at Media Corp, Singapura.

KONSERT EXISTS REUNION KUALA LUMPUR
Tarikh: 28 September 2019
Lokasi: Stadium Malawati, Shah Alam
Laman web: www.shirazprojects.com
Harga tiket: RM700 (Meet & Greet), RM360 (Diamond), RM260 (Exist Zone – Free Standing), RM160 (Platinum), RM130 (Silver)
Tiket: www.myticket.asia
No. untuk dihubungi: 03-86050195
Info hotline: 012-2560082
Facebook: shirazprojects
Instagram: shirazprojects
Hashtag: #KonsertExistsReunion

KONSERT EXISTS REUNION SINGAPURA
Tarikh: 5 Oktober 2019
Lokasi: The Theatre at Mediacorp, Singapura

Untuk maklumat lanjut, layari laman sosial Exists dan Shiraz Projects.