Konsert Amal Alif Satar & Raihan

Gandingan mantap yang pasti membuahkan kelainan.

Konsert Amal Countless Blessing Alif Satar dan Raihan bakal berlangsung pada 2 November, jam lapan malam bertempat di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara. Ia dianjurkan bersempena Kempen Live a Life 2019 oleh Philandure dan Komited Malaysia. Konsert ini menjadi platform untuk organisasi dalam sektor masyarakat sivil berkongsi peluang dalam majlis berskala besar untuk mengumpul dana tambahan.

Ini juga menjadi sebuah inisiatif ‘Fun Race Sing’ yang dianjurkan khas oleh Philandure untuk rakan strategik yang turut serta dalam konsert ini, antaranya adalah Sekolah Islam Al Huda, Mercy Malaysia, Persatuan Pemulihan Kesan Sosial Malaysia, CENSERVE IIUM dan Malaysian Young Shariah Scholars Malaysia (MySSA).

Konsert amal ini bakal menampilkan gabungan mantap Alif Satar dan Raihan. Mereka akan mempersembahkan lagu yang pasti mampu menggamit memori dan menyentuh hati semua. Bertepatan dengan tema ‘countless blessing’, mereka mengharapkan dapat memberikan kesan positif dalam diri individu yang hadir ke konsert ini, yang pastinya berbeza berbanding yang lain. Untuk pengetahuan anda juga, konsert ini turut menerima sokongan dan tajaan Restoran Al-Amar Lebanese Cuisine selaku penaja makanan.

Tiket dijual bermula dengan harga RM115 sehingga RM690 dan dijangka seramai 1,800 ke 2,000 orang akan hadir membanjiri Stadium Juara. Bagi anda yang ingin bertemu Alif Satar dan Raihan secara eksklusif, anda boleh membeli tiket Platinum bernilai RM690, di mana anda berpeluang menghadiri sesi meet & greet selepas konsert. Selain itu, dengan tiket kategori ini, anda diberi tempat duduk depan bagi merasai pengalaman konsert yang lebih dekat. Namun harus diingatkan, tiket Platinum ini hanya dijual sebanyak 200 keping sahaja!

Anda boleh dapatkan tiket di https://myticket.asia