Columbia Asia Cheras Cipta Rekod Lukisan Patriotik Terpanjang

Lukisan patriotik sepanjang 75 meter ini diwarnai oleh bakal ibu bapa baru dan juga kakitangan Columbia Asia Hospital – Cheras.

Pada 28 Julai lalu Columbia Asia Hospital-Cheras telah berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBoR) untuk lukisan patriotik sepanjang 75 meter. Seramai 75 pasangan suami isteri yang bakal menjadi ibu bapa menyertai sesi mewarna Lukisan Patriotik Paling Panjang di Malaysia.

Beberapa kakitangan Columbia Asia Hospital – Cheras termasuk doktor pakar serta jururawat turut mengambil bahagian dengan mewarnakan sebahagian kain rentang tersebut dengan lebih awal. Keseluruhannya, lukisan ini mengambil masa 3.5 jam untuk siap.

Acara ini ialah sebahagian daripada program antenatal yang dinamakan sebagai Wonder Mommy, anjuran Columbia Asia Hospital – Cheras. Lukisan patriotik ini memaparkan elemen Merdeka dan Malaysia, seperti Jalur Gemilang serta figura berbilang bangsa. Dengan ukuran 75 meter, ia telah mendapat tempat dalam senarai MBoR untuk Lukisan Patriotik Paling Panjang. Wakil dari MBoR turut hadir untuk tujuan pengesahan rekod dan penyerahan sijil. Turut diadakan sesi melukis perut ibu mengandung oleh para suami.

Selain itu, terdapat juga sesi perkongsian ilmu bersama doktor-doktor Columbia Asia Hospital – Cheras iaitu Pakar Ginekologi & Obstetrik, Dr Norshida Brahim, Pakar Bius, Dr Rohana Mohamed dan Pakar Kesihatan Kanak-Kanak, Dr Hew Khor Farn. Antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah pesta mini yang mempamerkan pelbagai keperluan dan produk bayi dari pelbagai jenama tersohor. Turut diadakan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai sehingga RM 15,000 dibawa pulang oleh mereka yang bertuah.