Cara Pastikan Sayur Sentiasa Segar

Hidangan sayur mudah dimasak dengan kaedah ini.

Sayur-sayuran amat penting dalam melengkapkan diet seharian anda dengan sumber vitamin dan mineral yang berguna untuk tubuh. Selain hanya tahu masak saja sayur yang dibeli, anda juga perlu ambil tahu bagaimana untuk mengekalkan kandungan zat yang terkandung di dalamnya setelah dimasak. Kaedah penyimpanan sayur juga kritikal dalam usaha mendapatkan khasiat terbaik daripada sayur.

Usah khuatir, berikut adalah cara untuk anda pastikan sayur kekal segar untuk dinikmati:

Sebelum Memasak

  1. Keluarkan daripada plastik dan rendam terlebih dahulu sayur yang baru dibeli. Biar ia terendam di dalam air kira-kira 15 minit untuk menyingkirkan sebarang kotoran atau racun serangga yang mungkin masih tersisa.
  2. Anda juga boleh cuci sayur dengan campuran air dan cuka untuk membunuh bakteria.
  3. Pastikan sayur berada dalam keadaan kering sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Air berlebihan akan membuatkan sayur anda mudah lebam dan rosak.
  4. Simpan sayur di dalam plastik bagi menjamin kesegarannya. Guna plastik pembungkus atau plastik berzip yang mudah didapatkan di pasaraya.
  5. Potong sayur dalam saiz sederhana, jangan terlalu kecil. Nutrien dalam sayur akan kurang terdedah dan menjadikannya kekal segar setelah dimasak nanti.

Sewaktu Memasak

  1. Rebus sayur seketika, kemudian rendam di dalam ais. Hal ini dapat mengurangkan waktu memasak yang sekali gus memastikan sayur kekal segar.
  2. Tumis sayur dengan api besar dan sekejap sahaja untuk menjaga kesegarannya. Gunakan hanya sedikit minyak.
  3. Cara terbaik adalah dengan mengukus sayur. Kaedah ini dapat mengekalkan sebanyak mungkin zat yang terkandung di dalam sayur, di samping dapat memasak sayur dalam jangka waktu yang singkat.
  4. Sayur seperti bawang, tomato dan lada benggala adalah bagus untuk dipanggang. Kulit sayur berkenaan akan melindungi bahagian isinya yang terkandung banyak khasiat baik.