5 Sebab Konsert #DayangDuaDekad Sangat Unggul

Siapa sangka Dayang pandai...

Dua dekad, bukan calang-calang orang boleh bertahan selama itu terutamanya dalam industri hiburan yang banyak ragam dan ronanya.

Nama Dayang Nurfaizah bukan baru tetapi rezekinya kelihatan lebih menyerlah sejak kebelakangan ini. Menjuarai vokal terbaik tiga Anugerah Juara Lagu dan muncul pemenang Juara Lagu dua kali sudah pasti mencantikkan lagi resumenya, pengiktirafan profesional terbesar dalam karier sebagai anak seni sejak dia memulakannya secara serius pada 1999 menerusi album Hakikat Cinta.

Hujung minggu lalu, tanggal 21 Julai 2019, sehari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-38, Dayang menghadiahkan konsert Dayang Dua Dekad buat peminatnya di atas sokongan mereka yang tidak pernah putus selama ini.

Sedikit mengenai Dayang, dia bukan asing dengan Jelita. Terakhir dia menghiasi halaman depan pada Oktober 2018 dan dia memang sudah dikenali selebriti paling santun dan pandai membawa diri. Awal tahun ini, dia memenuhi jemputan BluInc Media untuk menjadi wajah kempen International Women’s Day bila suaranya dipinjamkan untuk lagu Istimewa.

Busana kegemaran Jelita.

Menjadi kesukaan ramai kerana personalitinya yang ramah dan mesra, itu juga yang ditonjolkan sewaktu konsert baru-baru ini. Setinggi terima kasih kepada Shiraz Projects kerana sudi mengajak Jelita menghadiri konsert ini dan di bawah adalah 5 sebab konsert Dayang Nurfaizah baru-baru ini bakal menjadi ingatan dan ‘milestone’ yang berkesan!

  1. Pandainya Dayang berjenaka. Ya, anda mungkin tidak percaya tapi Dayang, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini sempat mengusik penonton dan ada sesetengah momen kami terasa “wow, garangnya kakak Dayang ni!” Interaksi diberikan cukup mencuit hati. Pentas Istana Budaya itu memang Dayang yang punya!
  2. Konsert yang berlangsung dua jam menyaksikan Dayang menukar ke empat persalinan! Bukan busana biasa, tetapi rekaan couture Datuk Rizalman Ibrahim yang sedia maklum adalah antara teman rapat dan pereka kegemaran Dayang sendiri. Hanya satu saja permintaan Jelita yang tidak tertunai, alangkah seronoknya jika ada disediakan persalinan berseluar supaya Dayang lebih mudah groove bila dia menyanyi.
  3. Bila tiba masanya untuk nyanyikan lagu keramat, Haram, Dayang cuba mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan simbolik lagu itu pada dirinya sebelum mempersembahkannya. Milestone adalah perkataan yang dia sebut tetapi mencari perkataan bahasa Melayu untuk memberi maksud lebih tepat. Sorakan paling kuat diberikan bila intro lagu berkumandang dan Hael Husaini, pasangan duet lagu ini keluar membuat persembahan bersama. Sesuatu sangat!
  4. Boleh dikatakan, segmen lagu Melayu klasik adalah bahagian kegemaran Dayang kerana dia nampak cukup seronok mempersembahkannya. Malah, sempat berseloroh kalau penonton tidak tahu, nikmati saja suaranya ya. “Dayang tak peduli, Dayang nak juga nyanyikan lagu ni!”
  5. Paling mencuit hati adalah ucapan Dayang mengenai perjalanan karier seninya. Dayang tidak sangka selepas 20 tahun dalam industri ini, “saya masih RELEVAN!” Jelita turut setuju…

Gambar oleh Echolaliapictures

Gambar oleh Echolaliapictures

Gambar oleh Echolaliapictures