Zakat Bantu Didik Sifat Syukur Dalam Diri

Kembalikan hak golongan asnaf sebanyak 2.5 peratus yang terdapat dalam harta dengan membayar zakat supaya memperolehi berkat di sisi Allah SWT

Harta kekayaan di dunia ini bukan hak manusia sepenuhnya, ia adalah pinjaman daripada Allah SWT untuk individu memanfaatkan dengan menunaikan zakat, menderma atau bersedekah. Setiap amanah akan dipertanggungjawabkan dan bakal ditanya di akhirat kelak termasuk amanah harta yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Ibadah berkaitan harta ini terdapat dalam dua bentuk iaitu ibadah wajib (zakat) dan sunat (sedekah).

Saidina Ali R.A menyatakan 10 perbandingan antara memiliki ilmu dengan memiliki harta dan salah satunya adalah harta perlu dijaga.  Ini bermaksud harta kekayaan yang diamanahkan adalah ujian yang diturunkan kepada manusia dan bakal disoal mengenainya.

 

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imraan ayat 92 :

“Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan harta yang kamu cintai”.

Setiap rezeki yang Allah SWT berikan adalah amanah yang diberikanNya utuk manusia berkongsi dengan golongan yang lebih berhak seperti asnaf kerana dalam setiap harta yang diperolehi sebahagiannya adalah hak milik individu lain. Jihadkan hati dengan membuang rasa kecintaan pada harta supaya sentiasa rasa cukup dengan apa yang dimiliki.

Kepentingan ibadah zakat dinayatakan dan diulang sebanyak 30 kali dalam Al-Quran serta disebut sebanyak 27 kali beriringan dengan perkataan solat. Jadi ia adalah perkara yang tidak boleh diambil ringan dan perlu dilaksanakan dengan segera.

Berzakat adalah antara salah satu cara menujukkan rasa syukur dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT. Zakat adalah Rukun Islam ketiga selepas solat yang mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah. Antara zakat harta yang wajib ditunaikan ialah

  • Zakat Pendapatan
  • Zakat Perniagaan 
  • Zakat Wang Simpanan
  • Zakat Saham
  • Zakat KWSP
  • Zakat Emas

Hanya 2.5 peratus sahaja daripada harta anda yang Allah perintahkan untuk berkongsi rezeki dengan individu lain. Bagi memudahkan individu  untuk membayar zakat, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP telah memperkenalkan bayaran dalam talian. Segalanya boleh dilakukan di hujung jari tanpa perlu beratur, anda boleh mengira, membayar dan menyemak penyata zakat.

Untuk keterangan lanjut mengenai pembayaran zakat, boleh melayari laman web www.zakat.com.my atau boleh menghubungi 1 300 88 5757.