Winner Berikan Persembahan Bertenaga Di Konsert Pertama Di Malaysia

Winner berjaya merealisasikan konsert solo pertamanya di Malaysia

Sehari selepas kumpulan iKON membuat konsert di Malaysia, menyusuli mereka adalah rakan artis dari syarikat label yang sama iaitu, Winner.

Kira-kira 6,500 peminat membanjiri stadium untuk menyaksikan persembahan kumpulan itu yang juga sebahagian daripada 2018 Everywhere Tour.

Ini adalah konsert solo sulung kumpulan itu selepas rasmi debut pada 2014. Ternyata kumpulan yang terdiri daripada empat anggota itu tidak mengecewakan kerana berjaya menampilkan pakaian yang hebat, vokal yang menakjubkan, koreografi yang menarik dan persembahan yang memukau.

Jinu, Hoony, Mino dan Yoon telah menyampaikan lebih daripada 20 lagu termasuk Empty, Everyday, Immature, Love Me Love Me, Island dan tidak ketinggalan lagu mereka yang paling laris iaitu, Really Really.

Ketua kumpulan dan juga vokalis utama, Yoon turut memberikan kejutan kepada peminat dengan mendendangkan lagu hit John Legend, All of Me yang turut dinyanyikan bersama peminat.

Sepanjang konsert itu berlangsung, stadium telah diterangi dengan cahaya berwarna biru dari lightstick rasmi kumpulan tersebut .

Mino turut mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana memberikan memori yang tidak dapat dilupakannya. Dia juga berharap dapat datang semula ke Malaysia.

Ditubuhkan melalui program survival realiti 2013 WIN: Who is Next, Winner membuat debutnya pada 2014 di bawah YG Entertainment dan kini telah mengeluarkan sebanyak dua album.

Sebelum ini, mereka pernah membuat persembahan pertama di Kuala Lumpur pada tahun 2014 sebagai artis jemputan di konsert artis label mereka, 2NE1.

Malaysia adalah perhentian pertama di Asia Tenggara untuk 2018 Everwhere Tour. Perhentian akan datang termasuklah Bangkok, Manila, Jakarta, Hong Kong dan Singapura.

Konsert ini telah dianjurkan oleh MacpiePro.

Gambar: YG Entertainment