[Titik Hitam] Bila Suami Berselera Songsang

Dulu normal, tiba-tiba suka jantina serupa?

Bukan bermaksud membuka pekung di dada, apatah lagi membuka aib bekas suaminya, tetapi *Azmah Harun, 48, ingin berkongsi kisahnya agar dapat djadikan teladan pada wanita yang bakal menempuh gerbang perkahwinan nanti. Wanita matang ini melahirkan rasa sedihnya kerana rumah tangga yang dibina selama23 tahun terpaksa diakhiri kerana tidak mahu lagi berpura-pura dan makan hati.

“Perceraian ini mungkin jalan terbaik yang terpaksa saya tempuhi kerana tidak mahu banyak lagi ‘kerosakan’ yang terjadi di dalam hidup kami,” kata Azmah sewaktu bertemu dengannya di sebuah kedai kopi.

Gambar: Depositphotos

Perkahwinan lebih 20 tahun yang dibina atas dasar saling mencintai sungguh membahagiakan. Sebagai suami, Arif* yang kini berusia 52 tahun adalah suami yang sangat disenangi. Orangnya baik, mulutnya ramah dan sangat bertimbang rasa. Arif menjalankan tanggungjawab sebagai suami sebaik mungkin. Dia juga rajin ke daput, pandai memasak dan ringan tulang untuk mengemas rumah. Sikapnya yang ringan tulang dan mudah mesra membuatkan Arif disukai jiran tetangga dan kenalan mereka. Azmah adalah pegawai kerajaan manakala suaminya bekerja di sebuah syarikat gergasi swasta dengan jawatan yang agak tinggi.

Sepuluh tahun pertama perkahwinan, samudera rumah tanggannya tenang dan hanya sesekali bergelora dilanda badai kecil. Tetapi itu adalah lumrah kehidupan berumahtangga. Kehadiran tiga cahaya mata menambahkan lagi kebahagiaan yang mereka berdua kecapi. Mereka berdua akan membahagi-bahagikan tugas di dalam menjaga anak-anak termasuk urusan menghantar dan mengambil anak-anak sekolah. Rezeki juga berpihak pada mereka apabila Allah mengurniakan anak-anak mereka dengan kebijaksanaan kerana ketiga-tiganya sering mendapat tempat pertama di dalam kelas.

Meledak Ketenangan

Masa berlalu dan kehidupan rumah tangga mereka biasa-biasa sahaja sehinggalah suaminya diarah ke luar negara selama enam bulan kerana dinaikkan pangkat. Suami ditugaskan ke Bangkok setelah dilantik sebagai Pengarah, bertanggungjawab memberi latihan kepada pejabat yang baru sahaja dibuka di kota itu.

Meski tidak ditukarkan ke sana, Arif sering berulang alik ke kota itu untuk memantau urusan pekerjaan. Entah bila, sedikitpun Azmah tidak perasan akan perubahan suaminya. Arif yang dahulunya tidak gemar berfesyen sekarang lebih menitikberatkan soal penampilannya. Kalau dulu suaminya selesa dengan kemeja kerja biasa dan sesekali mengenakan kemeja-T polo longgar kini memilih jenis yang sendat dan melekap.

Ini belum lagi mengenai rambut. Dulu Arif akan memangkas rambutnya di kedai mamak di rumah kedai dua blok daripada kediaman mereka. Tapi sekarang sudah pandai ke salun dan potongan rambutnya seperti anak muda. Ya, mengalahkan anak bujang mereka yang berusia 15 tahun.

Namun perubahan paling ketara suaminya sudah kerap ke gim membina badan. Badannya yang dulu biasa-biasa sahaja berubah menjadi sado. Pun begitu, Azmah tidak ambil kisah atau mengesyaki sesuatu yang luar biasa mengenai perubahan lelaki yang telah dinikahi sejak 20 tahun yang lalu.

Azmah juga perasan di atas meja solek mereka sudah mula ada produk kecantikan untuk lelaki. Kalau dulu suaminya sekadar membersihkan muka dengan pembersih biasa yang itupun dibelikannya kerana jika tidak suaminya akan menggunakan sabun badan sahaja untuk membasuh muka. Kini, dia lihat sudah ada penyegar dan krim pelembap dan sesekali turut memakai masker. Bila ditanya suaminya menjawab selamba, “Takkan perempuan sahaja nak jaga kulit muka. Lelaki pun kena jaga kulit lebih-lebih lagi apabila usia sudah meningkat,” Arif menjawab selamba sambil ketawa.

Makin Menjadi-Jadi

Selain penampilan diri Amzah juga turut perasan yang suaminya semakin ramai teman lelaki yang lebih muda daripada usianya dan boleh dikatakn semuanya segak belaka. Sebagaimana Arif, teman suaminya juga menjaga penampilan diri mereka dan bergaya. Bersama teman-teman barunya, Arif kerap keluar bersama dan apabila ditanya suaminya menjawab mereka sedang di dalam proses membuat projek baharu yang akan diusulkan pada pejabat.

Hatinya mula berasa kurang enak tetapi dipendamkan sahaja kerana sebagai isteri tidak elok dia menaruh syak wasangka terhadap suaminya. Tetapi hari demi hari perubahan suami sangat dirasakan dan mula menganggu jiwanya. Walaupun suaminya masih seperti dahulu, menguruskan persekolahan anak-anak dan masih tetap rajin di rumah hatinya berkata ada sesuatu yang tidak kena. Cuma suami sekarang ini lebih kerap bermalam di luar dengan alasan tugasan ke Bangkok walaupun syarikat telah melantik pengarah baru untuk ditempatkan di sana bagi melancarkan perjalanan tugasan di ibu kota Thailand itu.

Memori Hari Raya tiga tahun yang lalu rasanya begitu kejap di ingatannya. Seperti biasa setiap raya ketiga, dia dan suaminya akan mengadakan rumah terbuka meraikan keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan kenalan dekat. Mereka biasanya akan menempah katering dan sekadar memasak satu dua masakan tambahan terutama kuih muih. Dia teringat beberapa orang rakan rakan suaminya yang muda turut datang dan antara mereka melepak lama di rumahnya.

Apa yang membuat dia berasa pelik dan jelek adalah melihat gelagat teman suaminya itu yang kelihatan agak manja dengan suaminya dan sentiasa melekap bersama suaminya. Meski hatinya berasa marah dia cepat-cepat beristighfar untuk menghalau perasaan cemas dan takut yang mula bertandang ke hatinya.

Terang Lagi Bersuluh

Tetapi Allah Maha Berkuasa mahu menunjukkan kepadanya hal sumbang yang dilakukan suaminya di belakangnya selama ini. Dalam sibuk melayan tetamu yang datang tak kunjung henti dia bolak balik ke dapur mengambil itu dan ini. Di situlah matanya menangkap pandangan yang sehingga hari ini tidak mampu dia usir daripada ingatannya. Dia melihat suami yang dicintainya seang berdakapan mesra dengan teman yang dikenali dengan nama Lutfi dan jemari mereka saling berkait. TIdak sanggup menonton adegan yang memualkan dia berlari naik ke tingkat atas rumahnya dan meluru ke kamar tidur. Selama sepuluh minit dia berperang dengan pelbagai emosi. Dia menarik nafas dalam-dalam, mengetap bibir membuang rasa marah, beristighfar dan akhirnya mengumpul kekuatan untuk menelan kepahitan dan turun ke bawah melayan tetamunya semula.

Dua jam dia bergelur dengan rasa sakit hati, kesal, malu tetapi terpaksa berlakon di hadapan tetamu dan sanak saudara. Menjelang Maghrib semua tetamu telah pulang. Tinggallah dia, suami dan anak-anak sahaja membersihkan rumah mereka. Mungkin Arif perasan dia hanya mendiam diri dan hanya menjawab apabila ditanya. Anak-anaknya turut bertanya mengapa mama diam sahaja tetapi jawapan kurang sihat nampaknya boleh diterima mereka.

Seminggu selepas itu, Azmah bersemuka dengan suami dan apa yang didengar daripada mulut suaminya sendiri meluluhkan hatinya. Dia yang awalnya masih berharap perlakuan suami dan teman itu sekadar gurauan atau sekadar kekeliruan perasaan sahaja tetapi apabila Arif mengaku hubungan mereka sudah terlalu jauh dia kelu dan tubuh seakan membeku seketika. Jantung seperti berhenti berdegup dan langit runtuh menimpa dirinya.

Selepas berfikir masak-masak, berbincang dengan suami walau bagaimana sakit akhirnya mereka berdua mengambil kata sepakat untuk berpisah. Dia melihat suaminya begitu bercelaru tetapi masa sama tidak mahu mencuba untuk kembali pada kebenaran dan hatinya hancur melihat suaminya tunduk pada nafsu songsangnya. Dia mengaku mempunyai perasaan pada teman sejenis sejak muda lagi tetapi berjaya mengawal keinginan untuk melakukan sesuatu di luar tabii tetapi apabila sekarang dia mahu mendengar kata hatinya.

Demi anak-anak mereka merahsiakan sebab sebenar perpisahan dan jika kenalan dan saudara mara bertanya Azmah sekadar mampu menjawab suaminya mahu berhijrah tempat kerja dan dia sukar untuk membuat pertukaran. Dia tidak kisah jika ada yang percaya dengan alasannya atau tidak. Biarlah sebab perceraian itu menjadi rahsia antara dia dan suami. Setiap hari di dalam sujud terakhirnya Azmah tidak pernah lupa berdoa agar Allah memberi semula hidayah pada bekas suaminya untuk kembali meniti jalan yang benar.

*Bukan nama sebenar