Anugerah James Dyson 2019 Milik Eat.Easy

Eat.Easy, kecil tetapi mempunyai fungsi yang hebat.

Anugerah James Dyson adalah satu anugerah yang mencabar kreativiti pereka. Apa yang perlu peserta pertandingan ini lakukan adalah reka sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah. Masalah ini boleh terjadi daripada kesulitan yang dihadapi dalam kehidupan seharian atau isu global seperti kelaparan. Yang paling penting adalah penyelesaiannya perlulah dengan cara yang berkesan dan bijak.

Anugerah James Dyson ini telah diadakan di 27 buah negara. Ia dibuka kepada pelajar peringkat universiti (dan lulusan baru) yang mempelajari reka bentuk produk, reka bentuk perindustrian dan kejuruteraan. Ciptaan terbaik mestilah mudah dan praktikan namun dapat memberikan penyelesaian kepada masalah dunia sebenar.

Seorang pemenang kebangsaan akan dipilih di setiap negara sebelum melalui fasa terakhir di mana pemenang antarabangsa akan dipilih oleh James Dyson.

Pemenang peringkat kebangsaan untuk Anugerah James Dyson tahun ini menjadi milik Sarah Moi Shi Li, seorang graduan reka bentuk produk dari Universiti Sains Malaysia yang mencipta Eat.Easy. Produk ini membantu pengguna yang mencabar secara fizikal seperti orang yang dilahirkan dengan satu lengan, penghidap strok atau mereka yang mengalami kecederaan tangan untuk makan dengan sendirian dan mudah.

Masalah yang perlu diselesaikan

Orang mengalami cabaran secara fizikal sering menghadapi masalah dalam menjalankan tugas harian mereka seperti makan sendirian. Kebanyakan mereka mempunyai satu lengan yang berfungsi turut menghadapi masalah untuk mencedok makanan apabila hidangan disajikan di atas pinggan.

Kelebihan Eat.Easy

Eat. Easy adalah alat yang dibuat daripada silikon gred makanan. Ia selamat, mudah alih, tidak licih di atas pinggan dan juga mudah dibasuh. Produk ini berfungsi sebagai dinding, di mana pengguna boleh menggunakannya sebagai alat bantuan untuk memindahkan makanan dengan mudah dari pinggan ke sudu dengan hanya menggunakan satu tangan.

Menurut Sarah, untuk mereka sesuatu produk itu adalah satu proses yang lama dan ia memerlukan banyak percubaan dan ujian untuk melihat keberkesanannya dari segi bentuk, bahan dan penggunaan.

Tambahnya lagi, dia sangat bermotivasi untuk mereka bentuk sesuatu yang boleh menjadikan kehidupan orang lain jadi lebih mudah dan turut meluahkan rasa gembira kerana diberikan anugerah tersebut.

Menurut Pengurus Kejuruteraan DMM di Dyson dan ahli panel hakim JDA, Yvonne Tan, produk Eat.Easy dipilih sebagai pemenang kerana di sebalik rekaannya yang sederhana, produk ini dapat memberikan manfaat yang sebenar kepada mereka yang memerlukannya.

Sebagai pemenang, Sarah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 10,000 dan akan bertanding di peringkat antarabangsa Anugerah James Dyson.

Untuk lebih info mengenai Anugerah James Dyson, layari Facebook dan Twitter James Dyson Foundation.