Vivid Sydney Tawar Pengalaman Mengujakan dengan Cahaya Mewah

Acara yang pastinya mampu memukau pandangan.

Vivid Sydney 2018, perayaan 23 hari ini akan mengubah bandar berkenaan menjadi kanvas berwarna-warni yang menyaksikan cahaya terang, muzik hebat dan kreatif serta pelbagai idea, bermula Jumaat 25 Mei hingga Sabtu 16 Jun.

Vivid Sydney 2018 (meraikan ulang tahun ke-10) akan menampilkan pemasangan cahaya kreatif dalam skala besar, penghormatan kepada artis Australia dan New South Wales, selain pengenalan kepada inovator kreatif global yang cukup dikenali ramai. Penambahan baru yang menarik kepada Vivid Light termasuk Luna Park sebagai kawasan baru dan kembalinya tempat kegemaran ramai, Customs House. Acara tahunan ini menarik lebih daripada 2.3 juta pengunjung serta menampilkan pemandangan bersejarah yang meliputi Sydney Opera House, Customs House, Museum of Contemporary Art, dan Taronga Zoo. Kesemuanya bakal diselubungi dengan cahaya berwarna dan memukau suasana. 

Tarikan utama acara Vivid Sydney 2018 termasuklah:

VIVID LIGHT

Acara terbesar Australia ini pastinya menawarkan pemasangan cahaya yang luar biasa dan mengagumkan pada setiap malam. Ia akan mengubah seni bina Sydney dan ruang terbuka seperti di Sydney Opera House, Barangaroo, Circular Quay & The Rocks, Chatswood, Darling Harbour, Kings Cross, Luna Park, Taronga Zoo dan Royal Botanic Garden Sydney.

Bagi meraikan ulang tahun ke-100 tahun mereka, watak ikonik May Gibbs, Snugglepot and Cuddlepie serta teman seperjuangan yang setia dihidupkan pada Customs House, di mana mereka mengembara ke kawasan belukar Australia dan bertemu makhluk pelik serta hidupan yang asing. Naskhah aneh ini akan diceritakan oleh pelakon filem dan televisyen Australia iaitu Noni Hazlehurst AM, Penaung Australian Children’s Laureate.

Untuk pertama kalinya, festival ini diperluaskan ke kawasan baru Luna Park Sydney, dengan taman hiburan ikonik tersebut dihidupkan dengan tayangan berskala besar pada fasad Coney Island. Persembahan ini bakal meraikan sejarah, keajaiban, kreativiti, kejuruteraan, imaginasi dan fantasi yang dihimpun bagi melakar pelbagai momen indah. Tahun ini juga adalah kali pertama Ferris Wheel taman ini akan dinyalakan dengan cahaya bergemerlapan daripada lampu yang menghiasinya.

VIVID MUSIC

Mengangkat barisan pertunjukan elektrik dengan variasi elemen muzik yang hebat. Antara acara kemuncaknya adalah persembahan untuk satu malam saja oleh penyanyi rock yang memenangi anugerah Grammy, St. Vincent dan kembalinya Curve Ball yang dipimpin oleh Alison Wonderland – acara persembahan muzik dan seni langsung berskala luas yang dicipta oleh pasukan di sebalik Field Day, Harbourlife dan Listen Out – kedua-duanya di Carriageworks.    

Vivid LIVE di Sydney Opera House menganjurkan barisan acara eksklusif Australia yang hebat sebagai sebahagian daripada Vivid Sydney, termasuk beberapa penampilan sulung di Opera House. Acara kemuncak tahun ini termasuklah ikon dream-pop Amerika, Mazzy Star, bintang muzik rap West Coast, Ice Cube, penyanyi/penggubah lagu rock indie 1990-an yang terkenal, Cat Power, artis yang memenangi anugerah Grammy, Solange serta kolaborasi antara Daniel Johns dan Luke Steele.  

Turut kembali ke Vivid Music pada tahun ini ialah X|Celerate, satu kerjasama antara Vivid Sydney dan City of Sydney untuk menghidupkan lokasi muzik di seluruh bandar. 

VIVID IDEAS

Vivid Ideas pula menyediakan forum untuk berbincang, bekerjasama dan memupuk gaya pemikiran baru bagi mendorong agenda kreatif dalam bidang teknologi, reka bentuk, hiburan serta budaya. Vivid Ideas kembali pada 2018 bersama beberapa minda terhebat dunia, tatkala kita meneroka senario yang membentuk masa depan yang akan memberi erti pada kehidupan.

Vivid Ideas 2018 menonjolkan individu yang memimpin laluan dalam teknologi, kreativiti dan sains. Selain itu, Vivid Ideas Exchange di Museum of Contemporary Art turut kembali, yang mengadakan pelbagai pilihan ceramah yang disampaikan oleh pakar kreatif yang membincangkan topik antaranya seperti masa depan kerja, etika menginsankan teknologi dan bagaimana menjadi ejen dalam perubahan.  

Untuk info lanjut, anda boleh dapatkan di www.vividsydney.com.