Ubah Wajah Jadi Tua, Betulkah FaceApp Curi Data Peribadi Pengguna?

Tua Mengejar Kita?

Bersepah wajah warga tua di laman sosial sehingga membuatkan Jelita tertanya adakah masa berlalu terlalu pantas? Oh, rupanya minggu ini ramai betul yang ghairah menggunakan aplikasi FaceApp, yang mampu mengubah wajah anda menjadi tua ataupun muda.

Bagus juga jika anda boleh melihat wajah sendiri apabila tua nanti, mungkin boleh memberi kesedaran yang tua mengejar kita. Okay, berbalik kepada aplikasi FaceApp. Betulkah dakwaan mengatakan yang setiap pengguna yang menggunakan aplikasi ini sebenarnya telah terjerat? Kononnya data peribadi anda telah digodam hanya menerusi penggunaa aplikasi itu?

Aplikasi ini mendapat sambutan seluruh dunia apabila ramai orang memuat naik foto wajah tua, termasuk selebriti Hollywood dan tempatan. Jadi adakah anda semua termasuk selebriti-selebriti ini terselamat daripada digodam? Awal Ashaari, Scha Alyahya, Siti Saleha danĀ  Fasha Sandha antara selebriti yang berkongsi foto wajah tua mereka menggunakan FaceApp.

FaceApp yang berasal dari Rusia tampil dengan perincian yang mengubah wajah menjadi tua. Ia sebenarnya pertama kali dilancarkan pada tahun 2017. Menerusi artikel theverge.com, aplikasi itu tidak melakukan sebarang pencerobohan data seperti didakwa dan tersebar di Internet.

Jika anda meraguinya, bayangkan Google dan laman sosial lain seperti Facebook, Instagram dan Tumblr telah lama boleh menggodam data peribadi anda hanya dengan memuat naik foto. Jadi secara teorinya, data peribadi anda telah lama diceroboh bertahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mencipta FaceApp, Yaroslav Goncharov, aplikasi ini sama seperti aplikasi foto yang lain. Pengguna boleh memadam foto jika tidak mahu menggunakannya dan tiada isu menggodam data peribadi pengguna.

Beberapa hari lalu tular di Internet mengatakan FaceApp menyimpan wajah pengguna dan memindahkannya ke satu lokasi di Rusia untuk kegunaan tertentu. Bagaimanapun dakwaan itu tidak tepat apatah lagi ia mempunyai kawalan keselamatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.