[Titik Hitam] Derita Anak Pungut

Tidak pernah disangka hidupnya akan berubah dalam sekelip mata

Mendapat kasih sayang daripada ibu bapa adalah penting untuk anak membentuk peribadi yang baik. Namun segalanya berubah setelah dirinya mengetahui bahawa dia anak angkat yang diambil dari hospital tanpa mengenali siapa ibu bapanya yang sebenar. Usia yang masih mentah dan sikap ingin memberontak membuatkan *Farhanah Azim, 38 pernah menjadi seorang yang tidak mempercayai Tuhan.

Gambar: Depositphotos

“Saya dilahirkan pada 1980 dan dibesarkan di Sabah sehingga berumur 12 tahun. Di sana, saya hanya tingga bersama ibu bapa sementara adik beradik lain sudah berkahwin. Kami kembali ke Semenanjung hanya selepas arwah bapa bersara sebagai seorang askar. Sekembalinya ke sana kami tiga beranak terpaksa menumpang di rumah bapa siap diubah suai.

“Semasa di Sabah, saya dimanjakan sehingga tidak dibenarkan untuk membuat kerja rumah. Pulang dari sekolah semuanya sudah tersedia dan dilayan seperti puteri raja. Bayangkan pinggan makan juga dibasuh oleh arwah ibu. Ketika itu saya menjadi seorang yang pemalas dan tidak boleh berdikari dengan sendiri. Jika permintaan ditolak, saya akan buat perangai dan memberontak,” katanya.

Farhanah pada mualanya berasa pelik kerana kakak dan abangnya mempunyai jarak umur yang jauh berbeza dengannya tetapi ibunya menyangkal dan mengatakan bahawa dia hadir dalam rahim secara tidak sengaja. Dia hanya mempercayai semua yang dikatakan ibunya.

Rahsia Terbongkar

Akibat sudah biasa dimanjakan, Farhanah yang ketika itu baru menjejaki tingkatan satu membawa perangai malasnya di rumah kakak sulungnya. Melihat keadaan itu, kakaknya menjadi bengang dan bertindak memarahi Farhanan sehingga akhirnya berlaku perbalahan antara ahli keluarga. Ibunya juga turut diracun oleh kakak sulunya yang sebenarnya dengki akan kasih sayang yang diterima.

“Arwah bapa ketika itu menyebelahi saya. Ibu pula sejak pulang ke Semenanjung, dia sudah berubah dan sering menyebelahi kakak. Ketika itu, kakak dan ahli keluarga yang lain tidak boleh menerima kehadiran saya dan situasi ini amat mengelirukan saya. Sedangkan sebelum ini, ibu yang memanjakan saya dan mendidik saya sehingga menjadi begitu.”

“Ketika ketiadaan bapa, saya sering dipukul, dimaki hamun oleh ibu dan anaknya yang lain. Di usia yang mentah saya masih tidak mengerti kenapa mereka terlalu membenci serta melayan saya seperti sampah. Rupanya saya hanya seorang anak pungut yang diambil daripada sebuah hospital di Sabah. Segalanya terbongkar apabila kakak terlepas kata bahawa saya hanya anak angkat dan tidak layak untuk mendapatkan kasih sayang bapa,” tambahnya.

Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan Farhanah pada ketika itu. Hancur lebur hati apabila ibunya mengakuti fakta itu dan terus memukul tanpa henti. Sejak daripada itu, ibu dan ahli keluarga yang lain tidak segan silu memaki hamun dan mengungkit hakikat dirinya cuma anak pungut meskipun dia hanya melakukan kesalahan kecil. Farhanah hanya mampu menangis sehingga tiada lagi air mata yang keluar. Ketika itu, dia nekad untuk menjadi seorang yang kurang ajar dan memberontak. Namun, satu perkara yang dia tidak pernah beritahu pada bapanya ialah bahawa dia sudah mengetahui bahawa dia anak angkat. Ibunya juga tidak pernah mengutarakan perihal itu.

Tidak Kenal Agama

“Sejujurnya saya akui, ketika itu saya tidak tahu langsung mengenai agama dan Islam hanya pada nama. Bapa saya berasal dari Sarawak dan ibu pula berbangsa Cina. Mereka solat tetapi tidak pernah mengajar saya. Sejak daripada itu, saya tidak percaya pada Tuhan. Di sekolah, saya pernah memberitahu guru bahawa tidak berminat untuk belajar subjek agama kerana jika benar Tuhan itu wujud, mengapa nasib saya begini.”

“Di rumah pula, kami hanya berbahasa Inggeris sepanjang masa. Jadi saya kurang tahu untuk bercakap dalam bahasa Melayu. Rakan di sekolah juga kebanyakkannya mengatakan saya berlagak kerana tidak bercampur dengan orang lain. Saya hanya mempunyai seorang rakan baik yang mempunyai nasib yang sama iaitu kami hanya anak angkat. Jadi saya sering meluahkan perihal kejadian di rumah kepadanya,” kata Farhanah lagi.

Menurut Farhanah, setelah tamat zaman persekolahan, dia mahu sambung belajar namun keadaan yang tidak mengizinkan menyebabkan dirinya nekad melarikan diri. Dia tahu bapanya menyayanginya tetapi untuk apa jika dilayan seperti orang asing. Ketika itu, duit simpanan yang sudah mencukupi membuatkannya nekad melarikan diri mencari kerja.

Hidup Baru

“Saya melarikan diri ke Kuala Lumpur dan mendapat kerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel. Masa berlalu dengan pantas sehingga saya dinaikkan pangkat menjadi seorang pengurus. Namun, saya masih tidak melupakan tanggungjawab walaupun dihina sebegitu rupa. Saya memberi wang dan datang menziarahi ibu dan bapa. Saya tahu bapa amat merindui tetapi dia tidak tunjukkannya. Manakala ibu pula akan keluar rumah dan hanya kembali selepas saya pulang.

“Ketika ini, saya masih tidak menjalankan suruhan agama dan sering keluar ke kelab amalam untuk berpesta. Sehinggalah saya ditakdirkan untuk jatuh cinta pada teman sekerja ketika berumur 28 tahun. *Faizal seorang yang baik dan sering mengambil berat tentang saya. Kami berkawan selama tiga tahun, dan dia jujur mahu berkahwin serta ingin membawa saya kembali ke jalan yang benar,” tambahnya lagi.

Akhirnya keduanya mengambil keputusan untuk berkahwin di Thailand dan membawa diri ke luar negara kerana Faizal mendapat tawaran bekerja di sana. Farhanah bersyukur kerana dia menemui suami yang sering bersabar dan berusaha untuk membantunya berubah. Setelah 12 tahun, Farhanah kini sedaya upaya berusaha untuk tidak meninggalkan ajaran agama.

“Suami saya mempunyai kesabaran yang tinggi dalam membantu saya. Alhamdulillah, kini saya sedang berusaha untuk menjadi seorang muslim yang baik. Ibu saya meninggal dunia selepas setahun saya di negara asing. Saya sentiasa hubungi bapa ketika berada di luar negara dan menjalankan tanggunjawab sebagai anak. Bapa meninggal dunia tiga tahun lalu ketika saya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Malaysia untuk berjumpanya,” katanya lagi.

Farhanah kini reda dengan ketentuanNya. Dirinya sempat meminta maaf kepada bapanya sebelum dijemput Ilahi. Pesan Farhanah kepada ibu bapa di luar sana, jika mengambil anak angkat, jangan pernah membezakan mereka dengan darah daging sendiri. Mereka ini juga punya hati dan perasaan ingin dibelai.

*bukan nama sebenar

Artikel ini disiarkan dalam Majalah Jelita edisi Januari 2019