Elakkan Membazir Ketika Di Bazar

Tip menahan nafsu belanja di bulan Ramadan ini.

Berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi ia juga turut mengajar kita untuk mengawal nafsu.  Berbelanja di bazar Ramadan ketika berbuka puasa sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia. Di bazar Ramadan, mata anda akan dijamu dengan pelbagai jenis hidangan, manisan dan juga minuman yang pasti akan membuat anda rambang mata. Namun, pastikan anda tidak membeli mengikut kehendak kerana ia boleh menyebabkan pembaziran.

Ini ada beberapa tip yang boleh anda cuba untuk elakkan pembaziran ketika membeli-belah di bazar Ramadan.

Sediakan Senarai Makanan Yang Ingin Dibeli

Sama seperti anda pergi membeli barangan dapur di pasar dan sebagainya, sebelum anda pergi membeli-belah di baazar, pastikan anda sediakan senarai barangan atau makanan yang ingin dibeli. Senarai ini dapat membantu untuk mengelakkan diri daripada membeli makanan yang tidak diperlukan dan sekali gus dapat elakkan daripada pembaziran. Selain itu, ia juga dapat membantu anda membuat pilihan yang sihat dan tepat.

Tetapkan Bajet

Rancang perbelanjaan dengan teliti. Jika anda merancang perbelanjaan dengan teliti, ini dapat menggalakkan anda untuk membeli mengikut kemampuan atau bajet yang telah ditetapkan, sekali gus mengelakkan pembaziran. Jangan lupa untuk hadkan pembelian makanan.

Beli Makanan Yang Sihat dan Berkhasiat

Ingat untuk membeli makanan yang sihat, baik dan berkhasiat kerana ia akan mempengaruhi tahap kesihatan anda. Ambil peluang di bulan Ramadan ini untuk mengamalkan pemakanan yang lebih bermanfaat pada tubuh.

Pastikan Kebersihan Penjual

Sebelum membeli makanan atau minuman di gerai penjual, pastikan gerai itu bersih dan bebas daripada lalat. Ini dapat membantu diri anda juga kerana makanan yang bersih dapat menghindarkan diri daripada penyakit. Sebaiknya, anda memilih gerai yang bersih dan makanannya bertutup.

Buat Pilihan Yang Bijak

Jika anda tidak dapat menahan diri daripada membeli makanan yang diingini, mungkin anda boleh cuba untuk mengurangkan kuantitinya. Cuba kurangkan membeli kuih dan bubur yang manis, air minuman yang manis dan kurangkan juga membeli makanan yang berminyak, berlemak, tinggi gula dan garam. Ia bukan sahaja membantu anda mengelakkan pembaziran, bahkan membantu meningkatkan tahap kesihatan.