Tiga Jenis Keputihan Tidak Normal Bagi Ibu Hamil

Penjagaan menyeluruh terhadap ibu hamil adalah penting untuk memastikan proses hamil sembilan bulan berjalan dengan lancar. Namun, bagi sesetengah wanita berkemungkinan perlu berdepan lebih cabaran termasuk jangkitan keputihan sewaktu berbadan dua.

Masalah keputihan yang kerap dialami wanita adalah perkara biasa. Wanita yang berusia 20 hingga 40 tahun berkemungkinan besar mengalami keputihan. Sebanyak lima peratus wanita dalam tempoh pembiakan mengalami sekurang-kurangnya empat kali jangkitan keputihan setahun. Namun tiada kajian yang menunjukkan bahawa keputihan yang berlaku menjejaskan peluang seseorang untuk hamil.

Gambar: Ingimage

Sebenarnya cecair yang keluar adalah sisa buangan daripada rahim dan vagina. Ia mengandungi bakteria normal serta sel mati daripada dinding vagina. Ketika awal kehamilan, cecair ini akan memenuhi saluran serviks (pangkal rahim) untuk berfungsi sebagai lapisan pelindung. Sewaktu hamil, faraj wanita mengandungi kadar glikogen yang lebih tinggi dan ini menggalakkan pertumbuhan kulat. Apabila menjelang tempoh bersalin, lendir ini biasanya akan menjadi semakin banyak.

Keputihan yang normal adalah berwarna putih susu dan tidak berbau. Namun anda perlu kerap menukar pantyliner atau seluar dalam untuk mengelak ia menjadi sumber jangkitan kulat berkenaan. Jangkitan pada bahagian faraj sentiasa berlaku semasa hamil.

TIGA JENIS KEPUTIHAN TIDAK NORMAL

  1. Bacterial Vaginitis

Penyebab sebenar kepada jangkitan keputihan ini masih tidak diketahui namun ia seperti jangkitan kulat yang lain dan kulat serta bakteria berkembang dalam jumlah yang banyak pada faraj seorang wanita. Ia sering berlaku kepada mereka yang mempunyai pasangan yang lebih daripada satu dan kerap melakukan seks oral.

Tanda-tanda: Jumlah keputihan semasa hamil yang banyak, keputihan berwarna kelabu, berair dan berbau hanyir. Tetapi hanya sesetengah pesakit akan menunjukkan kesemua tanda ini.

  1. Trikomoniasis

Jangkitan Trikomoniasis ialah disebabkan organisma protozoa dan tersebar melalui hubungan seks. Bakteria protozoa ini boleh bertahan selama 24 jam di tempat yang lembab seperti tuala basah dan barangan mandian serta menjadikan tempat berkenaan untuk membiak

Tanda-tanda: Keputihan semasa hamil yang berbuih atau berbutir putih, berwarna kuning atau hijau, berbau dan keluar dalam jumlah yang banyak. Ia juga disertai dengan keradangan pada vagina, air kencing yang banyak dan gatal pada bahagian berkenaan

  1. Vagnitis Monilia

Normal bagi seorang wanita jika memiliki sedikit kulat dalam faraj mereka. Namun jika ibu hamil terkena jangkitan monilia, kulat ini akan berkembang dan menjejaskan keseimbangan pH pada Vagina. Jangkitan ini disebabkan oleh stres, pengambilan ubat perancang oral, kencing manis ketika hamil atau pengunaan antibiotik.

Tanda-tanda: Jumlah keputihan semasa hamil yang banyak, keputihan berwarna putih dan kenyal, seperti keju lembut, rasa gatal dan rasa panas di vagina.