The Phantom of the Opera Tawan Kuala Lumpur

Pementasan kisah cinta penuh dramatik.

Siapa yang tidak tahu mengenai The Phantom of the Opera, bukan? Teater muzikal paling dinanti-nantikan seluruh dunia ini telah memulakan jelajahnya di Kuala Lumpur yang bertempat di Istana Budaya pada 15 Jun baru-baru ini. Ia hanya akan berlangsung sehingga 7 Julai sahaja!

The Phantom of the Opera di Kuala Lumpur dibawakan oleh Lunchbox Productions, BASE Entertainment Asia dan TEG Dainty.

Teater muzikal blockbuster karya Andrew Lloyd Webber ini telah memenangi lebih 70 anugerah teater utama, termasuk tujuh anugerah Tony bagi Broadway dan empat Olivier Awards di West End. The Phantom of the Opera menampilkan kira-kira 130 pelakon, kru dan anggota orkestra, serta lebih 230 kostum oleh pereka antarabangsa. Persembahan ini mengangkat beberapa gubahan muzik Andrew Lloyd Webber yang hebat termasuk The Phantom of the Opera, Think Me dan Music of the Night.

Kisah Cinta Penuh Dramatik

Diadaptasi daripada novel klasik Le Fantome de L’Opera oleh Gaston Leroux, teater muzikal fenomena ini mengisahkan seorang genius muzikal yang berselindung di sebalik topeng – dikenali sebagai Phantom, menghuni Paris Opera House dan berusaha memenangi hati penyanyi soprano muda bernama Christine.

The Phantom of the Opera

Phantom & Christine

Namun Phantom tidak menyedari akan perasaan cinta Christine terhadap Raoul. Obsesi Phantom pada cintanya kepada Christine telah menjadikan kisah ini penuh dramatik, di mana anda boleh menyaksikan permainan emosi apabila keinginan, kegilaan dan rasa cemburu menguasai diri Phantom.

The Phantom of the Opera

Raoul & Christine

Penceritaan & Barisan Pelakon Hebat

Pementasan karya teragung ini diselang-selikan dengan dialog dan nyanyian yang amat luar biasa. Ditambah pula dengan bantuan pelbagai prop yang hebat dalam melengkapkan setiap babak yang ditonjolkan. 

Setiap karakter memainkan peranan yang sangat penting dalam pementasan The Phantom of the Opera. Watak Phantom, Christine Daae dan Raoul dimainkan oleh Jonathan Roxmouth, Meghan Picerno dan Matt Leisy. Mereka memiliki banyak pengalaman dalam dunia teater dan lakonan, yang sekali gus membuahkan persembahan penuh mengujakan. Lantunan vokal yang lantang dan merdu daripada setiap karakter juga menjadi kekuatan utama pementasan kisah ini. Ternyata mereka hebat dalam menjiwai watak, selain bijak bermain dengan emosi.

Hal ini menjadikan The Phantom of the Opera mesti anda saksikan di Istana Budaya secepat mungkin, sebelum semuanya berakhir! Harga tiket bermula daripada RM200.

Maklumat lanjut boleh anda dapatkan di ticketcharge.com.my.

Foto: The Phantom of the Opera World Tour