Telaah Tafsir Al-Quran Bersama Neelofa

Pinjam suara untuk aplikasi Muslim Pro.

Makna by Lofa, sumbangan Neelofa paling berharga buat pembaca ayat suci al-Quran.

Pengacara dan usahawan popular yang sedang menunaikan ibadah Haji ketika ini meminjamkan suaranya bagi membaca maksud bacaan ayat al-Quran dalam bahasa Melayu buat aplikasi Muslim Pro.

Dalam satu siaran media kepada Jelita, Neelofa mengumumkan kerjasama perdana dirinya bersama pembangun aplikasi digital Islamik global, Muslim Pro menerusi Makna By Lofa.

Makna By Lofa adalah sebuah laman khas dalam aplikasi Muslim Pro yang menampilkan suara Neelofa sebagai medium bacaan maksud dalam bahasa Melayu bagi ayat al-Quran.

SUKAR HAYATI TAFSIR

Neelofa atau mesra disapa Lofa berkata: “Sebelum ini, semasa membaca al-Quran, Lofa akan membuka buku yang berlainan untuk mencari maksud ayat. Namun, kebanyakan buku yang Lofa ada ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Jadi, inisiatif untuk mewujudkan laman Makna By Lofa dalam aplikasi Muslim Pro adalah disebabkan kekurangan maksud ayat-ayat al-Quran yang ditulis dalam bahasa Melayu,” katanya.

Sebagai permulaan, Makna By Lofa akan menerbitkan audio berbentuk suara Neelofa yang membacakan maksud ayat-ayat al-Quran dalam Juzuk 30 atau Juzuk Ammar.

“Bacaan maksud surah-surah Juzuk Ammar menjadi fasa pertama Makna By Lofa.

“Insya-Allah, selepas ini, kita akan hadir dengan fasa kedua dan ketiga iaitu bacaan maksud surah-surah terpilih serta bacaan seluruh ayat al-Quran,” katanya lagi.

KONGSI MANFAAT

Neelofa turut menambah, dia berasa sangat gembira kerana perjalanan mewujudkan Makna By Lofa dipermudahkan.

“Mewujudkan laman khas ini tidak mengambil masa yang lama, sekitar sebulan selepas idea dicetuskan. Saya berasa bersyukur kerana segala perjalanan dipermudahkan,” katanya.

Neelofa berharap agar Makna By Lofa dapat memberi manfaat khususnya kepada mereka yang ingin belajar tentang maksud pada setiap ayat al-Quran.

“Semoga apa yang Lofa kerjakan bersama Muslim Pro ini dapat dimanfaatkan oleh semua, insya-Allah,” ujarnya.

Pengguna boleh mencari laman khas Makna By Lofa dengan mudah menerusi gambar Neelofa yang digunakan sebagai ikon.

Laman khas tersebut tidak hanya untuk pengguna di Malaysia, tetapi boleh diakses oleh semua 74 juta pengguna aplikasi Muslim Pro dari seluruh dunia.

NEELOFA INSAN TERPILIH

Sementara itu, Pengurus Muslim Pro Malaysia, Nik Emir Din berkata: “Neelofa menjadi individu pertama yang meminjamkan suara bagi bacaan maksud ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu. Justeru, pengenalan Makna By Lofa juga dapat membantu pengguna Muslim Pro sedia ada atau yang baharu untuk memahami al-Quran dengan lebih mendalam.

“Sebenarnya, kami telah lama merancang untuk berkolaborasi dengan Neelofa. Jadi, apabila peluang ini muncul, kami berasa sangat teruja. Selain itu, Neelofa juga memberi komitmen yang sangat baik walaupun sibuk dengan kerja,” katanya.

Aplikasi Muslim Pro dan Makna By Lofa boleh dimuat turun daripada iTunes dan Google Play Store.

Untuk alaminya sendiri, klik sini.