Tahniah! Neelofa Tercalon Dalam Influencer Awards 2019 Monaco

Menampilkan Calon Hebat Seluruh Dunia!

Memegang status sebagai antara ikon fesyen dan usahawan terkenal di Malaysia, Neelofa buat pertama kalinya tercalon dalam kategori Usahawan di Influencer Awards 2019 Monaco. 

Anugerah yang dicipta secara eksklusif buat individu-individu berpengaruh di laman sosial seluruh dunia itu buat pertama kalinya dianjurkan tahun lalu. Acara ini adalah idea asal oleh anak sulung Puteri Monaco (Puteri Stephanie), Pauline Ducruet yang juga merupakan juri Anugerah ini. Antara juri-juri lain termasuk Pengarah Editorial Majalah PAPER – Mickey Boardman, Pop Culture Expert – Jeetendr Sedev dan Eksekutif Cif British Fashion Council – Caroline Rush.

Sebanyak 12 katgeori dipertandingkan seperti kategori Kecantikan, Usahawan, Gaya Hidup, Hiburan dan Fesyen. Manakala seorang pemenang daripada kategori dipertandingkan akan diangkat sebagai pemenang kategori utama iaitu Influencer Of The Year. 

Bagi kategori Usahawan tahun lalu, ia dimenangi oleh Jon Olsson Delér, bekas jaguh sukan Ski dari Sweeden. Jon juga memiliki syarikat Pakaian dan Beg iaitu Douchebags dan C’est Normal. Manakala antara pemenang lain untuk Influencer Awards 2018 termasuklah Murad Osmann (Kembara), Make Up By Mario (Kecantikan) dan Alex Rivière (Fesyen).

Menerusi kenyataan media daripada Neelofa, dia mengakui tidak menyangka tercalon dalam anugerah yang dipengerusikan oleh keluarga diraja Monaco.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka tercalon dalam anugerah ini. Selain dikelolakan oleh keluarga diraja dan diadakan di luar negara, majlis anugerah ini juga bakal dimeriahkan dengan calon-calon lain daripada negara berbeza.

“Tentulah, menang bakal menjadi satu yang besar kepada saya. Tetapi, saya mahu ke sana kerana merasakan ia masa yang sesuai untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh lain dan mengembangkan rangkaian saya.

“Insya-Allah, saya akan terbang ke sana kerana segala pengangkutan dan penginapan telah disediakan. Peluang ini bukan datang selalu, jadi saya sangat menghargainya. Saya juga berharap agar pencalonan ini dapat memberi inspirasi kepada orang Malaysia lain untuk bermimpi lebih besar dan mencari lebih banyak peluang,” katanya yang bakal menghadiri acara gilang gemilang ini pada 5 dan 6 Oktober akan datang.

Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober 2018 di Hotel Meridien Beach Plaza. Sebanyak 27 anugerah telah diserahkan pada majlis tersebut. Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Gaya Hidup ) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist influencer).