Selepas 13 Tahun, Gol & Gincu Vol 2 Ditayangkan Semula Dengan Barisan Pelakon Yang Baru

Filem Gol & Gincu Vol. 2 bakal ditayangkan Oktober ini

Red Films telah mengumumkan tarikh rasmi tayangan produksi baru filem dan siri popular yang dinanti ramai, Gol & Gincu Volume Dua bakal ditayangkan pada 25 Oktober 2018.

Selepas 13 tahun filem dan siri ikonik itu dilancarkan, kali ini ia tampil dengan watak baru yang bakal membakal membuka kisah baru. Filem ini akan memfokuskan kepada kisah pelajar universiti yang terlalu mementingkan diri sendiri dan dunia mereka sahaja. Bagaimanapun, jalan cerita kali ini sedikit berbeza daripada yang sebelumnya kerana ia menampilkan isu semasa yang melibatkan penggunaan media sosial yang serius di kalangan generasi muda masa kini.

“Mereka yang berpengaruh di media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan masyarakat. Menerusi media sosial, masyarakat bebas untuk menyuarakan pandangan mereka dan keadaan ini amat berbeza berbanding kehidupan yang dilalui generasi 13 tahun yang lalu. Media sosial memberi tekanan kepada kita untuk menjadi lebih cantik, pandai, berjaya,kaya dan alim,” Lina Tan- Penerbit Filem Gol & Gincu Vol. 2

Filem ini adalah filem arahan sulung Umi Salwana Omar. Dia dipilih berdasarkan kemahiran dan pengalamannya mengarahkan pelbagai telefilem dan sitkom popular Oh My English! serta pengalamannya sebagai penolong pengarah bagi produksi terbitan Red Films antaranya  Istanbut Aku Datang, Songlap dan Manisnya Cinta Di Cappadocia.

Diilhamkan oleh Rafidah Abdullah yang juga penulis asal Gol & Gincu, filem ini telah diberi olahan segar oleh Nadia Khan, seorang novelis yang terkenal dengan novel terlarisnya iaitu Gantung dan Kelabu.

Mengisahkan tentang Zakiah ( Zak) dan Zakiah (Yaya), dua pelajar universiti yang memiliki nama yang sama tetapi personaliti yang mereka berbeza. Akibat tercetusnya pergaduhan di khalayak ramai yang menjadi tular di media sosial, kedua gadis telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak pengurusan universiti untuk melakukan kerja amal sebagai teladan kepada pelajar lain. Zak dan Yaya telah memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikendalikan oleh Jijie. Sangkaan mereka meleset setelah menyedari bahawa kerja amal bukanlah mudah. Mampukah mereka ketepikan sikap prejudis mereka dan membantu Jijie dan gadis remaja tersebut atau adakah kehadiran mereka yang memburukkan keadaan? Dan apakah punca sebenar pergaduhan mereka?

Menampilkan gandingan daripada pemenang anugerah Festival Filem Malaysia, Diana Danielle dan Ummi Nazeera sebagai pelakon utama, Gol & Gincu Vol. 2 juga menampilkan semula dua pelakon asal filem pertama iaitu Sazzy Falak dan Sharifah Amani di samping jejaka pujaan ramai, Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf serta wajah baru iaitu Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhah, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin.

Menggabungkan adegan futsal dan elemen fesyen, filem ini telah berjaya mendapat sokongan daripada penaja seperti Pizza Hut, Libresse, Grab, Zalora dan Laura Mercier. Kesemua jenama ini telah bekerjasama dengan Gol & Gincu Vol.2 untuk menghasilkan kempen menarik untuk memberikan insentif kepada penonton dan mempromosikan filem ini. Ia juga turut mendapat sokongan oleh Sonneratia Capital Sdn Bhd.

Untuk maklumat terkini mengenai filem Gol & Gincu Vol. 2, ikuti laman Facebook, Instagram dan Twitter atau kunjungi laman sesawang rasmi Gol & Gincu Vol. 2.

Gambar: Instagram