Titik Hitam : Masjid Kasih Runtuh Akibat Orang Ketiga

Suami yang dipercayai dan disayangi bertindak menduakan dirinya yang sedang sarat hamil anak pertama. Peluang kedua dan ketiga diberikan namun,...

Perkahwinan yang dibina dengan harapan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat tersungkur di tengah jalan gara-gara orang ketiga. *Amira Rahman yang kini telah menemui kebahagiaan yang dingini selepas dia ditipu dan dicurangi beberapa kali oleh bekas suaminya *Fariz.

Perkenalan mereka berdua bermula di universiti di utara tanah air sebagai rakan sekelas. Menurut Amira, dia tidak pernah menyangka bahawa Fariz menyukai dirinya dalam dia kerana Fariz antara pelajar yang kacak dan diminati ramai. Dia pernah beberapa kali terserempak dengan Fariz bergurau senda dengan beberapa gadis yang berlainan setiap hari.

“Saya sedaya upaya mengelak untuk keluar berduaan bersama Fariz kerana bimbang menjadi mangsa seperti gadis lain. Selama tiga tahun di universiti, dia masih dengan perangai kaki perempuannya sehingga kami tampat pengajian dan selepas itu, saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya,” kata Amira.

Selepas tiga tahun, Amira yang bekerja di Johor kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur kerana dinaikkan pangkat. Dia tidak menyangka perpindahannya ke ibu negara akan mempertemukannya semula dengan Fariz. Mereka berdua ditakdirkan bekerja di syarikat yang sama. Amira berusaha untuk mengelak daripada Fariz namun, dia tidak pernah mengalah untuk memenangi hatinya.

“Dia kerap menghantar bunga dan mengucapkan kata-kata manis sehingga saya akhirnya membuka ruang untuk memberinya peluang. Sepanjang bekerja bersamanya, saya tidak pernah melihatnya keluar dengan mana-mana perempuan. Saya yakin dia pasti sudah berubah dan bukan seorang kaki perempuan sperti dulu,” katanya lagi.

Selepas setahun, Fariz kemudian meluahkan hasrat untuk berkahwin dengannya. Amira menerima dengan hati terbuka dan perkahwinan mereka dilangsungkan secara sederhana. Pucuk dicita, ulam mendatang, Fariz suami yang mithali, semua yang diingini Amira diikutkan sahaja.

PERUBAHAN LAKU

Selepas setahun perkahwinan, Amira meletakkan jawatan kerana ingin menjadi suri rumah sepenuh masa dan atas permintaan Fariz. Dia tidak mahu Amira bekerja kerana menurutnya dia sudah mampu untuk menanggung keluarga. Wanita mana yang tidak gembira bila perlu hanya fokus pada rumahtangga dan sebagai isteri yang taat, dia bersetuju dengan cadangan Fariz.

Belum apa-apa, Fariz mula tunjukkan belang aslinya, dia sering pulang lambat ke rumah dengan alasan terlalu banyak kerja untuk diselesaikan. Pada suatu hari, Amira disahkan mengandung selepas membuat pemeriksaan. Doanya dimakbulkan dan pada ketika itu, kandungannya sudah memasuki usia 10 minggu. Amira tidak sabar untuk memberitahu Fariz mengenai berita gembira itu.

“Keluar sahaja daripada klinik, mata saya terpandang susuk tubuh yang cukup dikenali. Tuhan sahaja yang tahu betapa menggeletarnya badan saya melihat Fariz memeluk seorang wanita yang cukup dikenali sambil bergurau senda. Wanita bernama *Kamilia pekerja baru yang menggantikan jawatan saya di pejabat. Saya menangis melihat Fariz dan Kamilia berjalan berpimpin tangan seperti pasangan kekasih,” ujarnya.

Dia kemudian mengambil gambar untuk dijadikan bukti dan pulang ke rumah dengan hati yang hancur tetapi masih lagi menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri menyediakan makanan untuk suami. Amira nekad ingin bertanya mengenai hal itu kepada Fariz apabila dia pulang ke rumah. Fariz yang tiba di rumah pada jam satu pagi terus diserbunya dengan pelbagai soalan.

Menurut Amira, Fariz menafikan apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Kamilia. Setelah didesak dan ditunjukkan gambar yang dirakam, lelaki itu tidak dapat mengelak dan akhirnya mengaku keluar bersama Kamilia. Amira mendesak Fariz untuk membawanya berjumpa dengan wanita berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

“Fariz membawa saya berjumpa dengan Kamilia dengan hasrat untuk menyelesaikan masalah. Fariz menangis meminta maaf kepada saya semasa saya menuntut penjelasan daripada mereka. Kamilia juga memohon maaf kepada saya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Saya menerima permohonan maaf mereka berdua dan berharap tidak akan terjadi lagi,” katanya.

KEMBALI CURANG

Langit yang disangka cerah sehingga ke petang, rupanya mencurahkan hujan di tengahari. Fariz hanya berubah selama empat bulan. Dia kembali meneruskan hubungan sulitnya bersama Kamilia. Pada ketika ini, kandungan Amira sudah pun mencecah tujuh bulan. Amira tidak tahu bahawa dia sekali lagi dicurangi Fariz.

Amira memberitahu bahawa rakan pejabat sudah menyampah melihat kemesraan di antara mereka seperti suami isteri yang tiada batas. Dia yang sarat ketika itu, sering ditinggalkan di rumah keseorangan. Fariz memberitahu kononnya dia harus ke Melaka untuk menghadiri seminar selama seminggu. Rupanya dia membawa Kamilia ke negeri Hang Tuah itu untuk bercuti sedangkan isterinya sedang sarat menunggu hari.

“Saya melahirkan anak tanpa suami di sisi saya pada ketika itu. Dia hanya tiba di hospital selepas lima jam saya melahirkan anaknya. Pada ketika itu, saya terlalu naif dan hanya mempercayai dia sudah berubah. Tanpa mengesyaki Fariz, saya mengambil keputusan untuk berpantang di rumah ibu saya dan dia mengambil kesempatan untuk terus berjumpa dengan Kamilia. Dia hanya menjenguk setiap hujung minggu walaupun rumah keluarga berdekatan,” ujar Amira.

Selepas menghabiskan masa pantangnya, Amira pulang ke rumah dengan harapan untuk bermanja dengan Fariz, namun bekas rakan sepejabatnya datang menemui Amira untuk memberitahu perihal sebenar mengenai lelaki itu. Dia hanya mampu mengalirkan air mata kerana suami yang amat dicintai sekali lagi telah meragut kepercayaannya.

“Pada ketika itu saya nekad untuk meminta cerai daripada Fariz kerana sudah tidak tahan diperlakukan sebegitu. Dia yang terkejut dengan tindakan saya kembali menangis dan melutut meminta maaf. Lebih mengejutkan Kamilia kini hamil hasil ketelanjuran mereka berdua ketika saya masih lagi berpantang. Bayangkan betapa hancur hati saya ketika itu,” katanya, sambil menitiskan air mata.

Amira nekad untuk bercerai kerana tidak sanggup untuk terluka buat kali ketiga. Dia harus kuat kerana ingin membesarkan anaknya yang masih kecil. Fariz cuba memujuknya untuk kembali bersama namun hatinya telah tertutup. Amira menyuruh lelaki itu bertanggungjawab terhadap Kamilia dengan mengahwininnya supaya gadis itu tidak terus menanggung malu.

Mulai detik itu, Amira langsung keluar daripada rumah mereka untuk memulakan diari baru dalam hidupnya.

Membesarkan Anak

Tumpuannya kini hanya membesarkan anaknya yang sudah memasuki usia dua tahun. Dia ingin melupakan memori pahit dan memulakan kehidupan baru. Walaupun berpisah dengan pengalaman perit, namun dia dan Fariz masih berkawan baik demi anak mereka. Kamilia menghilang selepas Amira bercerai dengan Fariz. Dia tidak pernah bertanyakan mengenai hal itu kepada bekas suaminya.

“Saya tidak membenci Fariz kerana dia ialah bapa kepada anak saya dan tidak mungkin saya akan memisahkan mereka. Saya masih menghormati Fariz walaupun kami bukan lagi suami isteri, apatah lagi dia tidak pernah lupa memberikan nafkah kepada saya dan anak,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dia bersyukur kerana memiliki keluarga yang menyayangi dan rakan yang selalu membantunya semasa susah. Dia akan berusaha membesarkan anaknya sehingga menjadi orang yang berguna.