Suami Merajuk? Ini Mungkin Sebabnya

Bukan anda seorang saja perlu dipujuk ya

Jarang dengar suami merajuk, tetapi tidak bermakna bila ia berlaku anda boleh ambil mudah dengannya.

Jangan berumah di tepi pantai jika tidak mahu dilanda badai. Begitulah bila sudah mengikat hubungan sah sebagai suami isteri. Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri. Perkara biasa jika berlaku salah faham dan perbalahan sehingga si isteri berjauh hati pada suami.

Sumber: Giphy

Tetapi, bagaimana pula jika berlaku sebaliknya? Kadang-kadang saja dengar suami yang berkecil hati dengan suri hatinya. Nama pun manusia, sudah tentu ada perbuatan sang isteri yang mampu membuat kesabaran suami makin menipis.

Ketahui penyebab serta cara memujuk semula insan tersayang berkenaan menurut panduan dikongsikan Hazaila Hassan, Pegawai Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Punca Suami Berjauh Hati

  1. Komunikasi

Komunikasi adalah satu daripada punca terbesar jika ada berlakunya konflik antara pasangan suami isteri. Komunikasi didefinisikan sebagai satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea dan fikiran seseorang individu kepada individu yang lain

Apabila kurangnya berlaku komunikasi antara pasangan maka perhubungan mula goyah dan bila ianya dibiarkan, boleh menempa keruntuhan.

“Cuba bayangkan jika di rumah kedua pasangan tidak bercakap, maka ianya akan melumpuhkan sistem kekeluargaan. Seumpama orang bisu, hendak itu ini tetapi tidak mahu berkomunikasi. Adakah ia akan memudahkan sesuatu urusan?” kata Hazaila.

  1. Fokus Beralih Arah

Isteri kurang memberi layanan kerana fokus kepada anak yang masih kecil. Ini adalah suatu kebiasaan yang berlaku kerana isteri perlu membahagikan masa lebih kepada anak-anak kecil yang memerlukan perhatian seorang ibu.

“Pada awal perkahwinan, yang ada hanyalah suami dan isteri. Kalian hidup berdua. Maka, isteri boleh memberikan fokus 100 peratus kepada suami. Makan, minum, pakaian, dan kasih sayang hanya untuk suami.

“Bila lahirnya cahaya mata, fokus isteri sudah tentu pada anak. Perhatian kepada suami yang sebelum ini kian berkurangan. Seharusnya juga suami memahami keadaan ini kerana tugas isteri bukan sahaja menjalankan tugas kepada suami, tetapi juga anak yang sedang membesar sememangnya perlu jagaan rapi seorang ibu,” jelasnya.

  1. Cantik Di Mata Orang

Suami pulang ke rumah, isteri tidak bersiap. Namun apabila bersiap keluar, bersolek dan memakai wangian. Ini juga boleh menjadi penyebab suami boleh berkecil hati kerana isteri hanya bersiap ketika mahu keluar dengan niat untuk menjaga suami.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah aku seperti orang jahiliyyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya” (Al-Ahzab : 33).

Ini merujuk kepada wanita yang ingin menunjuk kecantikan dan mendapat perhatian di luar. Namun, di rumah juga si isteri perlu ambil berat. Berhias, berwangian dan kemas apabila berada di rumah. Suami pasti gembira dan senang mata memandang.

  1. Masalah Di Pejabat

Suami keluar bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Perlu melangsaikan tugasan pastinya ada berdepan dengan tekanan di pejabat. Perkara ini boleh mengganggu emosi dan fikiran si dia hinggakan terbawa-bawa ke rumah. Emosi suami tidak stabil dan akhirnya melampiaskan ketidakstabilan emosi itu di rumah. Mungkin berlaku isteri dimarahi dan anak dipukul. Suami memendam rasa dan tiada tempat untuk mengadu. Mahu isteri menjadi tempat meluah, namun isteri sibuk dengan hal lain. Akhirnya merajuk pada isteri walau hanya melakukan kesilapan kecil yang tidak disengajakan.