Seks Selepas Pantang Bersediakah Anda?

Kebanyakan wanita yang bersalin anak pertama mempunyai fobia untuk tidak melakukan hubungan intim bersama suami akibat rasa takut dan hilang keyakinan diri.

Bukan mudah untuk menjadi seorang wanita. Lebih-lebih lagi apabila kali pertama menjadi ibu. Penjagaan semasa pantang perlu dilakukan dengan betul untuk memastikan jahitan tidak terbuka. Menurut kajian yang dilakukan oleh University of Tilburgh mendedahkan bahawa wanita akan bergelut dengan identiti mereka sendiri selepas mempunyai anak.

Kredit: INGimage

Wanita juga dikatakan akan mula hilang keyakinan diri selepas hamil dan bersalin menyebabkan hubungan intim bersama suami tidak dapat dilakukan. Ia akan menyebabkan suami menjadi bosan dan boleh menyebabkan berlaku perbalahan serta akhirnya menyebabkan penceraian.

PANTANG 100 HARI

Seperti yang diketahui, tradisi masyarakat Melayu bagi ibu yang berpantang adalah sebaiknya 100 hari bagi memastikan luka bersalin sembuh dengan sempurna. Bagi sesetengah yang lain pula 100 hari berkenaan bermaksud berpantang untuk tidak bersama dengan suami. Ini kerana, selepas bersalin, biasanya ibu akan mengalami perkara ini:

  • Trauma dengan proses kelahiran – Bayi yang keluar melalui vagina wanita akan menyebabkan tisu vagina yang lembut luka termasuk luka yang digunting (episiotomi) dan dijahit. Luka ini akan mengambil masa sehingga berminggu-minggu untuk sembuh sepenuhnya.
  • Perubahan hormon dan emosi – Kelahiran anak akan membawa perubahan yang besar dalam hidup. Penjagaan anak dan proses berpantang sedikit sebanyak akan membawa tekanan emosi kepada ibu. Ditambah lagi dengan perubahan hormon yang akan mempengaruhi emosi dan keinginan seksual ibu.
  • Perubahan fizikal – Wanita lepas bersalin tidak merasa seksi kerana bentuk fizikal yang mengalami perubahan ketara seperti tubuh yang makin berisi, menggeleber, kulit perut merekah dan badan berjerawat. Wanita akan merasakan dirinya tidak menarik lagi.

Jadi, adalah penting untuk pasangan suami isteri peka dan bersedia untuk menghadapi masalah seksual yang akan timbul enam bulan pertama selepas kelahiran anak. Kesabaran yang tinggi dan sokongan amat penting untuk ditonjolkan oleh suami kerana bukan senang untuk mengandung dan melahirkan.

KEINGINAN SEKSUAL BERUBAH

Wanita yang mengalami proses bersalin selalunya tiada keinginan untuk melakukan hubungan seksual sekurang-kurangnya beberapa minggu selepas melahirkan kerana keletihan dan kesakitan. Bukan itu sahaja, keinginan juga berubah kerana kelahiran bayi dan ibu bapa yang baru sahaja menerima ahli keluarga baru akan sentiasa letih disebabkan tidak mempunyai tidur yang mencukupi.

Keadaan ini mungkin akan berlarutan sehingga beberapa bulan. Dalam tempoh masa berkenaan suami akan merasa dirinya disisihkan kerana segala tumpuan diberikan kepada anak yang baru lahir dan tidak mustahil juga si suami akan mula cemburu dengan anaknya sendiri.

Bukan sahaja di pihak Isteri, terdapat sesetengah suami yang mengalami tekanan setelah melihat proses kelahiran bayi sendiri. Si suami akan mula memiliki perasaan kasihan dan bersalah kepada isteri sehingga tidak sanggup melakukan hubungan intim lagi. Ia akan mewujudkan kerenggangan hubungan antara suami isteri. Jadi, berjumpa dengan kaunselor boleh membantu untuk memulihkan pemikiran sedemikian dan merapatkan semula hubungan.

Artikel ini diterbitkan di Majalah Jelita edisi Februari 2018