Lapan Cara Terbaik Pujuk Suami Merajuk

Apa isteri boleh buat bila si dia pula yang tarik muncung.

Jangan berumah di tepi pantai jika tidak mahu dilanda badai. Begitulah bila sudah mengikat hubungan sah sebagai suami isteri. Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri. Perkara biasa jika berlaku salah faham dan perbalahan sehingga si isteri berjauh hati pada suami.

Gambar : Ingimage

Bagaimana pula jika sebaliknya yang berlaku? Terkadang pasti ada sesuatu perkara yang berlaku sehingga menyebabkan kesabaran seorang suami mula hilang. Hazaila Hassan, Pegawai Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam berkongsi cara terbaik memujuk suami yang sedang merajuk.

Bagaimana Pujuk Suami Merajuk

1. Tingkatkan Ilmu Psikologi

Jika wujudnya konflik dan ketidaksejahteraan diri seseorang, hasilnya diri seseorang menjadi tidak stabil dan akhirnya emosi tercalar. Maka hati mula berasa sensitif, tidak puas hati, sedih, marah dan bertindak berdiam diri. Pasangan perlu ambil tahu tentang perubahan suami. Apabila isteri sedar tentang perubahan ini boleh lakukan sesuatu bagi mengelakkan keadaan ini berpanjangan.

2. Tambah Pengetahuan Ilmu Perkahwinan

Seperti yang dinyatakan, perkahwinan adalah ikatan sah dan suci antara lelaki dan perempuan. Pasangan perlu mengambil berat mengenai ilmu perkahwinan kerana ianya sangat penting bila melayari rumah tangga. Perkahwinan yang dibina bertujuan untuk mengelakkan daripada perbuatan zina namun sebenarnya ia lebih dari itu. “Ambil masa untuk membaca buku agama perihal perkahwinan atau hadiri kelas agama bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperbaiki diri juga hubungan suami isteri serta anak,” katanya.

3. Belajar Berhias

Berhias apabila suami pulang dari pejabat, biar suami senang hati melihat si isteri sanggup berhias untuk dirinya. Masalah dan kekusutan di pejabat pasti dapat dilupakan seketika.

4. Berdua-duaan

Ajak suami bercuti berdua. Andai susah nak dapat masa yang sesuai kerana desakan waktu dan masa, ajaklah suami untuk keluar seketika. “Wujudkan detik Me Time buat kalian. Keluar minum di luar tanpa anak, berbual santai mengenai perasaan anda berdua. Jadilah orang yang terbuka minda dan hati agar mudah perbincangan dilakukan,” kata Hazaila.

5. Belajar Ambil Hati

Bertanya khabar menggunakan aplikasi Whatsapp. Ambil tahu jika suami sudah makan atau tidak. Ini tanda anda mengambil berat padanya. Selain itu, buat kejutan pada suami. Hantar hadiah atau bunga ke pejabatnya dan tulis ayat manis supaya si suami berasa seperti kembali ke zaman bercinta dahulu. Biar dia rasa indahnya dunia kerana memiliki isteri yang mengambil berat.

6. Musyawarah

Musyawarah atau berbincang amatlah digalakkan. Perbincangan yang baik akan menghasilkan keputusan yang harmoni dan akhirnya dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. “Suami kalau hendak merajuk tidak perlu lama. Beri petunjuk kepada isteri bahawa anda sedang merajuk. Adakalanya isteri tidak sedar bahawa si suami sedang merajuk,” katanya.

7. Rujuk Kaunselor

Jika sudah perbincangan antara suami isteri dilakukan, masa sudah diberikan tetapi tiada juga perubahan, disarankan kedua pasangan ini berjumpa kaunselor yang diiktiraf agar dapat menyelongkar dan membantu menyelesaikan masalah yang dialami. Kaunselor bukan penyelesai masalah, tetapi boleh menjadi orang tengah bagi memberi nasihat kepada kedua pasangan untuk memperbaiki hubungan ini.

8. Berdoa Pada Yang Esa

Serahkan diri kepada Allah dan berdoa sehabis baik. Minta dilembutkan semula hati suami supaya dapat memaafkan si isteri. Dia pasti tahu apa yang terbaik bagi hamba-Nya.

 

Gambar utama dari Bearfotos/Freepik.com