Isteri Nusyuz Tidak Layak Terima Nafkah

Mendengar perkataan nusyuz sahaja sudah pasti menggerunkan ramai wanita di luar sana. Ini kerana ia melibatkan seorang isteri yang bertindak menderhakai suami atau melakukan perkara yang tidak dibenarkan suami mengikut syarat yang ditentukan. Suami ialah penghulu dalam sesebuah keluarga. Sebagai isteri, apa yang diperkatakan suami perlu ditaati dan bukannya dilawan.

Gambar: Ingimage

Perkataan nusyuz berasal daripada kalimah Arab an-nasy-zu yang bermaksud tempat yang tinggi. Nusyuz pula didefinisikan sebagai bersikap tinggi atau berani mengingkar perintah yang ditentukan. Seperti sedia maklum, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Jadi apabila tanggungjawab dan amanah Allah ini diabaikan, nusyuz telah pun berlaku.

“Isteri yang nusyuz adalah isteri yang ingkar suruhan syarak untuk melaksanakan tanggungjawab kepada si suami. Al-Quran dan hadis yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap masyarakat Islam tidak pernah bersikap pilih kasih. Bukan itu sahaja, syariat yang telah ditetapkan si suami juga boleh disabitkan sebagai nusyuz sama juga seperti isteri. Namun, nusyuz yang sering diperkatakan selalu melibatkan si isteri,” kata Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.

PERKARA YANG BOLEH SEBABKAN NUSYUZ

Seorang isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz dengan dua alasan. Menurut Profesor Dr Wahbah Al-Zuhaili, nusyuz isteri ialah kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling membenci antara keduanya termasuk keluar rumah tanpa izin suami (Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu). Si isteri juga dianggap nusyuz jika meninggalkan rumah dengan tiada sebab syarie atau enggan mengikut suami berpindah ke rumah lain. Dua tanda isteri dianggap nusyuz ialah:

  • Perbuatan: menjauhkan diri, bermasam muka dan bersikap degil atau enggan ketika dipanggil.
  • Perkataan : Berinteraksi dengan suami dengan perkataan yang kasar.

Tidak Layak Terima Nafkah

Mengikut hukum syarak, isteri yang nusyuz tidak layak menerima nafkah namun amalan yang dilakukan di Malaysia ialah ia perlu dibuktikan bahawa si isteri telah melakukan nusyuz.  Jika terbukti nusyuz,  isteri tidak berhak dibiayai segala keperluan hidupnya hinggalah si isteri kembali bertaubat dan kembali melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri. Jika berlaku perceraian, isteri yang disabitkan sebagai nusyuz tidak berhak untuk memperoleh nafkah edah sepanjang tempoh itu.

Tambah Suzana lagi, syarak telah menetapkan bahawa jika isteri nusyuz suami mestilah bersabar menghadapi karenah isteri, memberi nasihat, pisahkan tempat tidur dan terakhir sekali memukul untuk mengajar. Jika tidak berjaya, krisis itu dirujuk kepada hakam untuk mencari penyelesaian dengan mengemukakan permohonan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah. Namun, si suami tidak boleh hanya menuduh atau bercakap sahaja kerana bukti diperlukan.

Untuk makluman, peruntukan di dalam undang-undang keluarga Islam hanya menjelaskan mengenai keadaan atau alasan bagi sabitkan isteri sebagai nusyuz. Mengikut seksyen 59 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, antara tindakan isteri yang boleh dikira sebagai nusyuz mengikut undang-undang adalah menjauhkan diri daripada suami, meninggalkan rumah bertentangan dengan kemahuan suaminya dan enggan berpindah bersama suaminya ke rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah menurut hukum syarak.

Namun jika ini tidak berhasil, suami mempunyai pilihan terakhir iaitu menceraikan isterinya dengan talak satu jika itu yang diamahukan. Perlu diingat sebelum menasihati isteri, suami sepatutnya terlebih dahulu memperbetulkan  dan melakukan muhasabah diri, mencari di mana kelemahan dan kesalahan diri.