Isteri Degil, Tanda Suami Gagal Mendidik?

Sikap isteri yang degil dan tidak mendengar kata sepatutnya tidak berlaku kerana realitinya sang suri sepatutnya patuh kepada suami.

Perkahwinan adalah institusi yang harus dihiasi dengan bibit cinta membahagiakan. Pasangan mana menginginkan masalah dalam perkahwinan tetapi sudah adat, ada kala rumah tangga dilanda badai.

Gambar : INGimage

Namun, jarang didengari masalah isteri yang degil tetapi jika ia berlaku, mungkin berpunca daripada pasangan yang bersikap tidak matang, kuat cemburu dan terlalu berdikari. Di kaca televisyen, sudah mula memaparkan watak isteri yang dominan daripada suami, sehinggakan segala kata-katanya pula harus dipatuhi.

Suami yang berdepan isteri dominan hingga enggan mendengar kata, perlu mendalami ilmu menangani dan bertoleransi dengan pasangan. Para isteri pula perlu terus membaca agar dapat mengenal pasti sama ada anda tergolong dalam wanita bercirikan ini.

Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie berkongsi cara pasangan dapat menghadapi situasi ini.

ISTERI EGO, TERLALU BERDIKARI

“Ego adalah fitrah setiap manusia, perlu ada untuk menjaga harga diri. Sekiranya terlalu keterlaluan dan boleh menganiayai orang lain maka suami perlu melakukan sesuatu. Jika dibiarkan sahaja harga diri si suami boleh tercalar dan boleh dianggap dayus,” tambahnya.

Namun ia tidak bermakna juga suami boleh menjadi diktator sehingga isteri langsung tidak boleh bersuara, tambahnya. “Ketika ini lah komukasi yang positif perlu iaitu berterus terang dan lakukan perbincangan,” katanya.

Suami yang mempunyai isteri yang biasa berdikari seumpama memperolehi bonus besar. Namun pesanan untuk isteri, jangan terlalu berdikari sehingga suami merasakan dirinya tidak diperlukan kerana padahnya akan kembali kepada isteri jika suami mula lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab.

“Selain itu, kebiasaan berdikari atau bertindak sendiri bukan kunci untuk bersikap degil dan keras kepala terutama setelah si isteri menerima seorang lelaki sebagai suami. Suami adalah ketua keluarga yang perlu dihormati, perintahnya perlu ditaati dan larangannya perlu dipatuhi selagi ianya tidak melanggar syariat,” ingatnya.

PUNCA ISTERI MENJADI DEGIL

Segala yang berlaku sudah pasti mempunyai sebab dan dalam konteks ini isteri yang dahulunya mendengar kata telah berubah dan mula berani melawan kata-kata suami. Banyak punca yang boleh dikaitkan dengan masalah ini.

  • Perangai Suami

Rasa hormat seorang isteri mungkin hilang akibat perangai suami yang tidak sesuai dengan keinginan isteri. Pasangan mungkin telah hilang sabar akibat suami yang melanggar prinsip yang selama ini dipegang teguh walaupun hanya kerana perkara kecil. Namun jika diulang berkali-kali sudah pasti si isteri mula hilang sabar. Contoh utama jika si suami berbohong atau tidak menepati janji.

  • Tidak Menghargai Isteri

Selain perangai, sikap suami yang tidak menghargai isteri juga boleh menjadi punca. Sebagai contoh, jika suami tidak menghargai susah payah isteri yang bekerja mencari pendapatan lebih keluarga kemudian pulang menyambung kerja di rumah pula. Malah suami langsung tidak membantu isteri melakukan kerja rumah. Keadaan sebegini boleh menimbulkan sakit hati si isteri dan boleh menggoyahkan rumah tangga.

  • Meletakkan Standard Pada Suami

Faktor lain si isteri mula menjadi degil juga kerana membanding suami dengan orang lain yang tidak realistik. Contohnya si isteri mengharapkan si suami berkelakuan seperti idolanya tanpa menyedari bahawa suaminya adalah seorang yang berbeza daripada apa yang diharapkan. Pertengkaran boleh berlaku hanya disebabkan perkara seperti ini.