Cara Mudah Kendali Suami Kedekut

Jangan biarkan sikap kedekut suami berleluasa!

Peningkatan kos hidup memerlukan pasangan suami dan isteri untuk bekerja agar dapat menampung sara hidup. Walaupun isteri turut bekerja, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk suami bersikap kedekut dan lepas tangan mengenai nafkah isteri. Bagi isteri yang punya suami kedekut, anda boleh cuba lima cara ini untuk kendalikan suami kedekut.

Gambar: Depositphotos

Masak Ala Kadar

Apabila pulang ke rumah sudah pasti si suami mengharapkan hidangan lengkap sudah tersedia. Jadi, cuba masak lauk secar ala kadar. Bila ditanya baru anda beritahu mengapa anda perlu masak lebih sederhana daripada biasa, kerana bahan mentah dapur hanya sedemikian rupa. Pasti suami akan mula memberikan wang pada anda untuk membeli barang. Wujud lelaki yang mengatakan bahawa membazir jika memasak lauk banyak sedangkan nasi yang dimakannya bertambah tiga kali.

Tidak Perlu Usaha Menghias Rumah

Apabila berkahwin, selalunya si suami akan menyediakan rumah untuk diduduki. Akibat ekonomi yang tidak menentu kebanyakan suami dan isteri bekerjasama mengeluarkan wang untuk menghias rumah dengan barang keperluan. Tetapi, jika suami hanya mengharapkan si isteri untuk keluarkan belanja beli perabot, seeloknya berhenti lakukan perkara itu. Bimbang perangai kedekutnya semakin menjadi-jadi dan akhirnya terlalu mengharapkan wang isteri semata-mata.

Minta Suami Selesaikan Bil Rumah

Jangan sekali-kali si isteri membiasakan diri membayar bil rumah seperti elektrik, air, dan bil lain. Jika sekali anda lakukan ia akan membuatkan suami terbiasa dalam hal berkenaan. Akhirnya, si suami liat untuk mengeluarkan wang dan mengharapkan anda untuk membayarnya.

Berbincang Dengan Suami Tentang Sifat Kedekutnya

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Ianya memerlukan sedikit usaha. Isteri digalakkan berbincang secara aman bersama suami tentang sifat kedekutnya. Mungkin si suami sendiri tidak sedar dia bersifat kedekut kerana berpendapat, dia sedang berjimat cermat untuk masa hadapan. Dengan anda berterus-terang, pasti dia akan menyedari kesilapannya.

Berjumpa Pakar Perkahwinan

Jika keadaan masih tidak berubah walaupun anda sudah cuba menasihati dan berbincang berkali-kali tetapi, suami masih berdegil, digalakkan anda berdua berjumpa dengan pakar perkahwinan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik tentang masalah sifat kedekutnya. Jika si suami masih tidak mahu berubah, solusinya adalah melaporkan kepada  mahkamah. Mungkin si suami terlepas ketika di dunia, tetapi di akhirat semuanya akan ditimbang semula.