4 Peraturan Dalam Perhubungan Yang Perlu Anda Tahu

Inilah peraturan dalam perhubungan yang harus anda patuhi untuk kekal bahagia

Dalam perhubungan terdapat beberapa peraturan yang perlu anda tahu agar perhubungan anda bersama si dia dapat kekal sehingga ke jannah. Bahkan, jika anda mematuhi peraturan ini, hidup anda juga akan jadi lebih baik dan lebih tenang. Oleh itu, Jelita kongsikan empat peraturan dalam perhubungan yang perlu anda tahu.

peraturan dalam perhubungan

Gambar: Shutterstock

Anda tidak boleh memaksa orang lain untuk mencintai anda

Ingat, orang lain tidak bertanggungjawab untuk membalas perasaan cinta atau kasih seseorang. Sudah tentu anda tidak akan dapat mencintai seseorang dengan sepenuh hati jika anda tidak menyukainya, kan? Anda perlu menghormati perasaan dan pilihan orang lain. Jika orang yang anda suka tidak membalas perasaan anda, jangan paksa si dia. Cuba perbaiki diri anda dan jadi lebih baik. Ini akan membuatkan si dia memutuskan untuk dirinya sendiri sama ada dia mahu membalas perasaan anda.

Anda akan dapat merasainya jika anda dicintai

Setiap orang ingin mendapatkan layanan yang baik daripada orang lain. Anda pasti akan sedar jika terdapat seseorang yang melayani anda lebih baik daripada yang lain, menghabiskan masa dengan anda, menghormati anda dan mengambil berat tentang perasaan anda- tidak kiralah bagaimana ia berlaku. Tetapi jika pasangan anda terlalu sibuk untuk meluangkan masa dengan anda, inilah masanya untuk anda bangkit dan berhenti buat alasan untuk pasangan.

Anda perlu belajar mencintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain

Mencintai diri sendiri bukanlah bermakna anda seorang yang pentingkan diri sendiri. Anda cuma menghormati keinginan dan perasaan anda sendiri. Ini bermakna bahawa anda tidak akan mengkhianati diri demi kesenangan atau kehendak si dia yang tidak mempedulikan anda. Belajar mencintai diri sendiri akan membuatkan anda lebih menghormati dan menyayangi pasangan anda.

Jangan menahan seseorang yang tidak lagi mencintai anda

Inilah kesilapan yang biasa dilakukan. Ia mungkin kedengaran agak kejam namun anda tidak boleh memaksa perasaan seseorang untuk mencintai anda selamanya, tidak kira sama ada anda telah memberikan si dia tig orang anak atau membina istana yang bertatahkan berlian. Dan jika ia terjadi, anda perlu memikirkan yang terbaik untuk diri sendiri, tamatkan cerita lama dan mulakan yang baru atau memaksa dan membebani si dia dengan perasaan anda?