10 Perkara Ini Mungkin Buat Suami Berkecil Hati

Bagi lelaki berkahwin tiada perkara lain yang dimahukan melainkan isteri menghormati dan patuh padanya. Jadi elak daripada membuat suami berkecil hati

Syurga isteri terletak di telapak kaki suami, ungkapan sering kali diperkatakan kepada setiap wanita. Tanggungjawab utama adalah mentaati si suami kerana kepatuhan kepada lelaki itu berada di tahap tertinggi melebihi semua termasuk ibu dan ayah kandung si isteri.

Zaman moden kini, ramai isteri lebih cenderung melakukan perkara yang boleh mengecilkan hati si suami tanpa sedar. Jadi anda perlu lebih berhati-hati dan mengelak daripada berlaku perkara seperti ini. Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie berkongsi 10 perkara yang boleh menyebabkan suami kecil hati.

Gambar : Ingimage

1. Membelakangkan suami

Sebagai ketua keluarga, suami amat pentingkan rasa hormat dan mahu diutamakan dalam segala perkara termasuk tatkala isteri membelanjakan duitnya sendiri. Islam memberikan hak mutlak kepada isteri untuk membelanjakan hasil pendapatannya tetapi pada masa sama, Islam menuntut agar isteri menghormati suami. Isteri yang gagal memaklumkan kepada suami mengenai sesuatu yang ingin dibeli walau menggunakan duit sendiri tergolong dalam isteri yang gagal menghormati suami, hingga boleh menyebabkan lelaki itu berkecil hati. Lantaran, Islam menentukan setiap isteri perlu maklumkan dan dapatkan izin suami untuk melakukan sesuatu perkara sebagai tanda anda hormat kepada suami.

2. Mengungkit kesilapan lalu

Manusia tersalah dan bersalah tapi tatkala kesilapan tersebut telah diperbetulkan dan diusahakan juga untuk berubah tapi si isteri masih lagi menyebut dan mengungkit, maka suami akan berkecil hati. “Bila anda setuju untuk memberikannya peluang maka berikanlah juga ruang dan masa. Bantu dia dengan doa untuk jadi lebih baik,” sarannya.

3. Membandingkan suami dengan lelaki lain

Jika suami anda memuji wanita lain di depan anda, pasti membuat diri rasa berjauh hati, maka samalah juga dengan sang suami bila anda memuji lelaki lain di depannya, walaupun dengan niat agar agar suami berubah jadi lebih baik. “Sebaiknya, luahkan hajat anda itu tanpa melibatkan atau membandingkan suami dengan lelaki lain,” katanya.

4. Menolak untuk hubungan intim
Hubungan intim bagi suami adalah satu bentuk terapi untuk pemulihan dan ketenangan lantaran bila suami berkehendak tetapi ditolak isteri maka lelaki itu akan berkecil hati kerana anda tidak mahu membantu memulihkan jiwanya. Isteri sewajarnya lebih bijak menangani isu letih atau penat untuk melayan suami dengan mengusahakan penyelesaian. Contohnya, melakukan kerja rumah tangga dan menjaga anak bersama-sama supaya kedua-dua pihak dapat manfaatnya di ranjang.

5. Memperlekehkan suami

“Tidak kira apa juga pangkat atau kedudukan anda sebagai isteri, anda tetap wajib mentaati suami selagi tidak melanggar syariat dan tetap wajib menghormati suami. Jika anda bertindak memperlekehkan suami hanya kerana suami berpendapatan lebih kecil atau berpangkat lebih rendah, anda akan sebabkan suami berkecil hati,” katanya.

Sama juga dengan tindakan anda berbelanja besar melebihi kemampuan suami walau anda berkemampuan tanpa dibincangkan lebih dulu dengan suami, sama seperti anda memperlekehkan suami .

6. Menyindir suami

Ada jenis isteri yang menggunakan kata-kata perlian atau sindiran dengan tujuan untuk menegur suami. Hakikatnya perli atau sindiran tersebut akan jadi lebih tajam dan menghiris hati si dia. Lebih baiklah anda berterus terang dengan cara yg baik dan berhemah.

7. Memberikan arahan kepada suami

Suami boleh menolong isteri dalam melakukan sesuatu termasuk kerja rumah atau menjaga anak, dengan syarat bukan diberikan arahan. Sebaiknya isteri wajar menggunakan perkataan ‘tolong’ dalam setiap ayat ketika meminta bantuan suami. Contoh “Abang, tolong ambilkan baju di ampaian” berbanding “Abang pergi ambik baju kat ampaian” yang boleh sebabkan si dia berkecil hati dan enggan membantu anda.

8. Merajuk tanpa sebab difahami suami

Merajuk adalah sikap biasa wanita dan kebanyakan lelaki tahu akan kenyataan ini. Namun, suami akan jadi tidak suka atau berkecil hati jika anda merajuk secara tiba-tiba dan tanpa sebab yang dia fahami. “Lebih teruk jika suami ada cuba memujuk, tetapi anda masih berkeras untuk teruskan merajuk,” kata Suzana.

9. Membangkang arahan atau cakap suami

Suami akan berkecil hati jika isteri membangkang arahan atau kata-kata suami tanpa memberikan fakta atau alsan yang tepat. Lantaran, jika tidak bersetuju dengan pendapat suami, berikanlah sebab yang sesuai sebagai menjawab arahan dan cakap suami selain perjelaskan juga dengan penuh hikmah.

10. Tidak melayan ahli keluarga suami dengan baik

Menghormati suami juga bermakna menghormati ahli keluarganya terutama ibu bapanya. “Ini kerana, kedudukan ibu bapa mentua sama taraf dengan ibu bapa sendiri. Jadi anda sebagai isteri wajar menghormati mereka,” katanya.