PPZ MAIWP Lancar Kempen Dirikan Solat & Tunaikan Zakat

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Willayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Siti Khadijah Holdings Sdn Bhd telah melancarkan Kempen Dirikan Solat dan Tunaikan Zakat bagi membantu meningkatkan pemahaman terhadap kedua rukun Islam berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff dan pengasas Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzilah Enda Sulaiman di pelancaran Kempen Dirikan Solat & Tunaikan Zakat

Ia adalah satu medium untuk meningkatkan kesedaran tentang kewajipan mendirikan solat dan menunaikan zakat dalam kalangan masyarakat umum sempena bulan Ramadan ini. Kempen ini juga akan mensasarkan kepada peserta umrah dan haji yang menggunakan pakej menerusi agensi pelancongan di Wilayah Persekutuan  serta para pengguna telekung Siti Khadijah.

Kempen yang berlangsung  selama tiga bulan ini bermula 1 Mei sehingga 31 Julai 2019 ini adalah yang pertama dijalankan di negara ini. Pelbagai pengisian telah disusun sepanjang kempen ini berlangsung termasuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Siti Khadijah dengan menyantuni golongan asnaf di bulan Ramadan.

Ianya telah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff. Turut hadir ke majlis pelancaran ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, pengasas Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzilah Enda Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Aminuddin Mohd Nasir.

PPZ-MAIWP sentiasa menyambut baik sebarang bentuk kerjasama daripada syarikat korporat dan organisasi lain dalam usaha untuk meningkatkan syiar islam khususnya menyebarkan dakwah zakat di kalangan umat Islam.