Plane In The City Bakal ‘Terbang’ dengan Juadah Enak

Alami pesona santapan dalam kapal terbang yang pastinya mengujakan.

Bayangkan anda dapat menjamah pelbagai hidangan menyelerakan dalam suasana kapal terbang sebenar? Ditambah pula tanpa perlu melalui proses check-in umpama di lapangan terbang dan tiada makanan pre-packed.

TwoSpicy Entertainment Live (yang terkenal dengan Dinner In The Sky Malaysia) kini hadir pula dengan Plane In The City yang bakal menjadi tarikan terbaru di Kuala Lumpur.

Plane In The City akan membawa anda merasai pengalaman 90 minit dalam kapal terbang Boeing 737, di mana anda dapat abadikan swafoto dalam cockpit, berjalan di sayap kapal terbang, selain dapat menikmati juadah hotel menggiurkan, ditemani muzik menyenangkan. Berlokasi di Skyland di Bukit Bintang, ia sudah pasti bakal menjadi fenomena dan memberi suatu pengalaman menjamu selera yang baru buat rakyat Malaysia serta pelancong.

Setiap sesi hanya memuatkan 20 orang. Makanan yang dihidangkan pula adalah daripada hotel lima bintang, Le Meridien Kuala Lumpur.

Proses untuk mengangkut dan mengubah pesawat yang digunakan untuk Plane In The City bukanlah kerja yang mudah. Dari pengiring polis ke pelbagai kren, ia adalah perjalanan yang teknikal dan panjang, yang disokong oleh penaja seperti Dulux dan AkzoNobel sebagai cat rasmi. Sebanyak 350 liter salutan aeroangkasa premium sebenar telah diimport ke negara ini oleh Dulux untuk projek Plane In The City ini.

Jualan tiket telah bermula pada 26 Mac 2018 dengan harga (untuk 1 pax) RM199 untuk kelas ekonomi, RM399 untuk kelas perniagaan dan RM999 untuk kelas pertama. Di samping pakej standard ini, Plane In The City turut merancang untuk melancarkan pakej perayaan seperti untuk sambutan hari lahir dan ulang tahun. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.planeinthecity.com.