Persembahan Hebat iKON Di Stadium Malawati Pukau Peminat

iKON berikan persembahan yang memukau buat peminat mereka di Malaysia

Kumpulan lelaki atau idol popular dari Korea Selatan, iKON memang dikenali di kalangan peminat K-Pop kerana muzik hip hop dan koreografi yang hebat, Jadi, tidak hairanlah kumpulan yang dianggotai oleh tujuh lelaki itu telah berjaya memukau penonton di konsert jelajahnya, 2018 iKON Continue Tour di Kuala Lumpur.

Diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, konsert berdurasi selama dua jam lebih itu dimulakan dengan muzik kuat, silauan lampu merah yang sinonim dengan warna kelab peminat iKON, iKONIC dan karisma koreografi daripada tujuh ahli kumpulan tersebut.

Tujuh ahli kumpulan, B.I, Jay, Bobby, June, DK, Song dan Chan kelihatan kacak dengan busana rona merah telah mempersembahkan 20 lagu termasuk Bling Bling, Rhytm Ta, Killing Me dan turut mempersembahkan lagu terbaru mereka secara langsung, Goodbye Road.

Tidak ketinggalan, turut dipersembahkan adalah lagu yang menjadi fenomena bukan sahaja di Korea Selatan tetapi juga di kalangan peminat K-Pop secara globat iaitu, Love Scenario. Sebanyak 7,000 peminat yang hadir membanjiri Stadium Malawati turut menyanyi bersama dengan kumpulan tersebut.

Peminat juga terhibur dengan interaksi lucu antara ahli kumpulan dalam bahasa Inggeris di antara lagu. Selain itu, mereka juga turut berinteraksi dengan peminat.

Suasana stadium itu diterangi dengan biasan lampu rona merah jingga terang dari lightstick rasmi kumpulan tersebut.

Peminat juga mengambil peluang untuk menyanyikan lagu ulang tahun untuk ketua iKON, B.I atau Kim Han Bin yang hari jadinya jatuh pada 22 Oktober.

Sebagai sokongan kepada album kedua iKON, Return, konsertĀ  iKON 2018 Continue Tour di Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh MacpiePro.

iKON akan meneruskan konsert jelajahnya di perhentian seterusnya iaitu di Bangkok, Sydney, Melbourne, Hong Kong, Manila, Jakarta dan Singapura.

Gambar oleh: YG Entertainment