Neelofa Dan Chatime Berkolaborasi Untuk Chatime Signature

Kembangkan Sayap Ke Perniagaan Baharu

Minuman teh buih terkenal, Chatime Malaysia Sdn. Bhd. berkolaborasi dengan ikon fesyen popular, Neelofa untuk membuka cawangan Chatime Signature yang pertama di Malaysia.

Kerjasama itu diumumkan pada majlis berbuka puasa Neelofa X Chatime di Hotel Royale Chulan Damansara, Jumaat lalu. Menurut Neelofa, idea untuk meluaskan sayap dalam perniagaan makanan dan minuman akhirnya terlaksana.

“Selepas saya berkecimpung dalam perniagaan tudung dan pakaian, sudah tiba masa untuk saya mencuba sesuatu yang baharu. Kafe signature ini bakal memberikan kelainan berbanding booth Chatime di luar sana. Ia lebih unik, moden dan bakal menjadi lokasi terbaik sebagai foto insta-worthy” kata Neelofa.

Tambah Neelofa, kafe Chatime Signature ini masih mengekalkan konsep dan rekaan jenama Chatime. Neelofa juga turut mencurahkan idea daripada segi hiasan dan tampil moden. Malah, ia bakal menjadi kafe pertama Chatime yang menyediakan makanan dan pencuci mulut.

Apabila ditanya mengenai kos yang dilaburkan oleh Neelofa untuk kerjasama ini, menurut Pengarah Pengurusan Kumpulan Chatime, Cik Azila Ali,  pihaknya lebih berminat bercerita mengenai kesudian Neelofa untuk berkolaborasi. “Faktor berapa banyak modal yang dilaburkan bukan perkara utama buat kedua belah pihak, tetapi bagi pihak Chatime, Neelofa adalah individu terbaik untuk kerjasama ini apatah lagi beliau adalah seorang ikon terkenal,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Neelofa selepas ini dia tidak terikat untuk dilihat minum minuman jenama lain contohnya minuman kopi. “Kalau nak diletakkan dalam semua kategori minuman, tidak adil untuk saya katakan tidak. Tetapi untuk sebarang minuman daripada kategori yang sama dengan Chatime, mungkin ya,” jelas Neelofa.

Diharapkan kolaborasi Neelofa X Chatime ini memberikan inspirasi dan semangat buat usahawan muda yang lain untuk mengembangkan perniagaan mereka. Kafe Chatime Signature ini juga akan dibuka di Singapura dan Arab Saudi selain kafe bersama Neelofa yang dijangka memulakan operasinya hujung tahun ini.