Malas Nak Bangun Sahur? Atasinya Dengan Tip Ini

Tiada lagi alasan untuk malas bangun sahur.

Bersahur pada waktu pagi dapat memastikan badan anda kekal bertenaga sepanjang hari ketika sedang berpuasa. Namun, masih ada yang mengalami masalah bangun pagi dan ada yang lebih memilih untuk tidur daripada bersahur. Bagi anda yang mempunyai masalah bangun sahur, Jelita kongsikan beberapa tip mudah untuk anda.

Gambar: INGimage

Tidur Awal

Mungkin sebelum ini anda sudah terbiasa tidur lewat namun sempena bulan Ramadan ini, tidak salah jika anda tidur awal daripada biasa. Ini kerana jika anda tidur lewat, badan anda akan rasa letih apabila tiba masa untuk bangun sahur. Paling lewat untuk anda tidur adalah pada jam 10 malam. Ini dapat membantu anda mendapatkan tidur yang mencukupi sebelum bangun sahur.

Tetapkan Jam Loceng

Gunakan kemudahan telefon pintar anda untuk menetapkan jam loceng agar ia dapat membantu untuk memudahkan anda bangun bersahur. Ketika jam loceng berbunyi, terus bangun dan jangan matikan jam loceng kerana ini akan membuatkan anda tertidur semula.

Lakukan Senaman Ringan Sebelum Tidur

Tidur yang mencukupi bukan hanya diukur melalui berapa lama masa yang diambil sewaktu tidur tetapi juga sebaik mana anda dapat berehat. Ini penting untuk anda bangun sahur tanpa rasa malas. Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, anda boleh lakukan senaman yang ringan seperti merenggang atau berjalan selama 15 minit. Ini dapat membantu anda untuk tidur lebih lena.

Cuci Muka

Jika anda sudah bangun namun masih rasa mengantuk dan malas, segeralah mencuci muka untuk menghilangkan rasa mengantuk tersebut. Air yang segar dan sejuk dapat membantu menghilangkan rasa mengantuk dan membuat anda segar kembali.

Elakkan Makanan Berat

Makanan berat yang mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi, rempah dan santan bukan sahaja akan membuatkan anda kehilangan selera dan mengantuk tetapi juga akan membuatkan sistem pencernaan anda bermasalah ketika berpuasa.

Kekal Hidrat

Pastikan anda minum air yang mencukupi semasa berpuasa boleh membantu tubuh anda kekal cergas dan mencegah dehidrasi. Sekiranya anda berasa pening apabila anda bangun sahur, salah satu sebabnya ialah anda tidak cukup minum air. Selain daripada minum air, anda boleh mendapatkan air daripada sayuran dan buahan yang mempunyai kandungan air yang tinggi.

Sumber: halodoc.com dan wowmenariknya.com