Majalah Jelita Raih Pengiktirafan Tourism Authority of Thailand

Naskhah Bergaya + Berilmu bantu Thailand raih empat juta pelancong tahun lalu.

Sebagai sebahagian daripada sambutan Thanks 4 Million – Let’s Celebrate Songkran Festival, Tourism Authority of Thailand (TAT) menyampaikan penghargaan di atas sumbangan dan kerjasama kepada penggiat industri termasuk media dalam satu acara gilang-gemilang di ibu negara, baru-baru ini.

Editor Jelita, Anida Salwani (kanan) menerima trofi penghargaan daripada Chattan.

Sewaktu majlis berprestij yang berlangsung di Mandarin Oriental itu, TAT telah menyenarai pendek majalah Jelita, naskhah Bergaya + Berilmu sebagai antara penerima pengiktirafan ini. Ia bertujuan menghargai usaha Jelita dalam pertumbuhan jumlah pelancong Malaysia ke Thailand pada 2018.

Menurut TAT, seramai empat juta pelancong negara ini mengunjungi negara berkenaan pada tahun lalu, antara pencapaian membanggakan buat negara itu biarpun turut dilanda ekonomi mencabar seperti negara seluruh dunia yang lain.

Selain majalah Jelita, dua lagi jenama di bawah BluInc Media Sdn Bhd yang meraih penghargaan ini adalah Harper’s Bazaar dan Marie Claire. Turut sama menerima penghargaan daripada TAT adalah kumpulan agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan kelab kereta terpilih.

Hadir sama memeriahkan majlis adalah HE Narong Sasitorn, Duta Thai ke Malaysia, Chattan Kunjara Na Ayudhya, naib gabenor bagi pemasaran antarabangsa Asia dan Pasifik Selatan, TAT. Turut diajak berkongsi pengalaman bercuti di Pattaya, Yasmin Hani serta suami Sha’arin Razali Wong dan dua anak mereka, Noah Ismail Wong dan Eissa Elzander Wong.

Sementara itu, TAT turut meraikan sambutan Songkran sewaktu majlis makan malam berkenaan dengan pertunjukan budaya yang membuat hadirin terpaku menyaksikannya. Festival air ini disambut meriah di Thailand sekitar 13 sehingga 15 April hampir setiap tahun sebagai menandakan hadirnya Tahun Baru Thailand, menjadikannya antara tarikan utama pelancong daripada seluruh dunia kerana rata-rata mahu mengalami sendiri kemeriahan perayaan ini.

Foto: TAT KL

Selain pertunjukan membabitkan festival Songkran pada malam Thanks 4 Million berkenaan, ia turut dimeriahkan dengan persembahan demonstrasi Muay Thai – seni mempertahankan diri yang kini popular pada peringkat antarabangsa. Juga persembahan fesyen Thai yang menampilkan keindahan fabrik dan rekaan yang lain daripada biasa.

JOM BACA: Cipta Pengalaman Gaya Hidup Mewah di Thailand