Lima Mitos Tidak Benar Mengenai Pembedahan Caesarean

Ketahui fakta-fakta sebenar mengenai cara kelahiran melalui pembedahan ini.

Isu mengenai kelahiran secara normal dan pembedahan tidak pernah habis. Segala macam fakta dikeluarkan namun kebanyakannya hadir daripada kata-kata dan golongan yang tidak bertauliah. Ibu hamil dimomokkan dengan keadaan menakutkan jika melakukan kelahiran secara pembedahan.

Gambar : Ingimage

Dr Nur Zaireena Zainal, Pakar Obstetkrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia memberitahu bahawa kedua-dua cara kelahiran mempunyai risiko tersendiri. Tiada istilah mudah dan selamat yang boleh diguna pakai secara umum bagi semua wanita kerana risiko kelahiran bergantung kepada keadaan kesihatan dan perubatan ibu serta status keadaan bayi. Berikut adalah mitos tidak benar mengenai kelahiran secara pembedahan.

Mitos 1: Tidak Sakit Semasa Pembedahan

Ini adalah mitos pertama yang tidak benar. Menurut Dr Zaireena, si ibu akan berasa sedikit tekanan pada tempat pembedahan disebabkan rasa sakit dihalang ubat bius. Namun ada segelintir wanita masih akan berasa sakit walaupun dengan ubatan. Ini boleh berlaku kerana perasaan sakit itu amat subjektif dan daya respon badan berbeza bagi individu. Ubatan ini hanya akan aktif semasa prosedur pembedahan. Selepas kelahiran ibu tetap akan merasai kesakitan pada luka jahitan dan rahim hampir sama seperti kelahiran normal. Ini biasanya akan dibantu dengan ubat tahan sakit selepas bersalin.

Mitos 2: Masalah Sakit Belakang Berpanjangan Akibat Bius Epidural

Bius epidural adalah ubat bius yang diberikan kepada wanita melalui salur halus pada lapisan hujung saraf tunjang yang berada di antara tulang belakang. Kaedah ini selamat dan rendah risikonya namun ramai khuatir akan momokan sakit belakang seumur hidup selepas prosedur dijalankan. Ia tidak benar kerana prosedur ini dilakukan doktor terlatih untuk memasukkan ubat bius pada bahagian lapisan ini dan bukannya dimasukkan dalam saraf seperti yang diperkatakan.

Sakit belakang selepas kelahiran yang kerap terjadi pada wanita selepas bersalin ini adalah kerana keadaan hamil selama sembilan bulan. Tulang belakang dan pelvik wanita bergerak dan berubah untuk menyesuaikan dengan posisi serta pergerakan bayi sepanjang tumbesarannya dan poses kelahiran. Selepas kelahiran, sendi tulang ini mengambil masa untuk kembali ke posisi asal. Penjagaan tulang belakang yang tidak baik, berat badan serta usia menyumbang kepada sakit belakang yang kronik serta kegeliciran tulang belakang.

Mitos 3: Bersalin Pembedahan Menyebabkan Penyusuan Ibu Lambat

Ini tidak benar kerana ibu boleh memulakan proses penyusuan sebaik sahaja bayi keluar sama seperti kelahiran normal. Ia amat digalakkan seiring dengan polisi penyusuan negara. Namun begitu jika terdapat komplikasi pendarahan atau keadaan bayi yang tidak stabil, ini akan menyebabkan penyusuan dimulakan lewat untuk memberi laluan kepada rawatan kecemasan bagi menyelamatkan ibu atau bayi.

Mitos 4: Kelahiran Pembedahan Menjamin Hubungan Kelamin Suami Isteri Yang Lebih Baik

Fakta ini tidak tepat. Hubungan kelamin suami isteri adalah suatu proses yang kompleks melibatkan kasih sayang serta respons kedua pasangan berinteraksi dengan kasih sayang. Ia bukan sekadar hanya pada hubungan fizikal. Secara umum, perubahan hormon ketika mengandung, kelahiran dan menyusu seseorang wanita itu sememangnya menyumbang kepada kurangnya nafsu atau kehendak untuk hubungan yang intim bersama pasangan.

Ia adalah proses fisiologi untuk melindungi tubuh ibu agar dapat pulih sepenuhnya sebelum bersedia untuk kehamilan baru. Perubahan hormon ini berlaku kepada semua wanita tidak kira cara kelahiran bayinya. Namun begitu sesetengah lelaki merasakan hubungan suami isteri agak hambar setelah bersalin kerana tekanan ibu menjaga bayi kecil serta peranan baru sebagai ibu, letih dari waktu tidur yang tidak tetap, trauma semasa proses kelahiran, serta kurang yakin atas perubahan bentuk badan dan imej diri. Perkara ini langsung tidak berkait dengan kaedah kelahiran.

Mitos 5: Keintiman Dan Kepuasan Selepas Bersalin Berkurangan Kerana Laluan Faraj Wanita Menjadi Longgar Setelah Bersalin Normal 

Mitos ini juga tidak tepat kerana ada yang menyebabkan wanita memilih untuk bersalin secara pembedahan, risau akan perkara ini. Ia sebenarnya boleh berlaku kepada wanita kedua-dua cara kelahiran. Interaksi yang baik antara pasangan, penjagaan luka jahitan yang baik, diikuti dengan senaman otot pelvis yang kerap akan membantu otot berkenaan dan faraj kembali pulih dan mencapai keintiman yang diingini.