Langkah Bijak Hindari Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

Jelita kongsikan cara bijak yang boleh anda cuba untuk elakkan gangguan seksual di tempat kerja.

Gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja adalah perkara yang sering terjadi namun tidak ramai yang tahu mengenainya. Ia boleh berlaku pada anda jika anda tidak mengambil langkah yang bijak untuk elakkannya. Jelita kongsikan cara bijak yang boleh anda cuba untuk elakkan gangguan seksual di tempat kerja.

Gambar: Shutterstock

Ketahui Apa Itu Gangguan Seksual

Kesedaran mengenai gangguan seksual ini penting untuk memastikan hal ini tidak berlaku. Masih ada majikan yang tidak mengambil berat mengenai isu ini dan tidak menyebarkan kesedaran mengenai perkara ini. Oleh itu, amat penting sekali jika anda tahu mengenai gangguan seksual agar anda tidak menjadi mangsa.

Berani Berkata Tidak

Jangan sesekali rasa takut untuk mengatakan tidak atau berhenti kepada si pemangsa. Beranikan diri anda untuk meluahkan rasa tidak selesa dan marah anda kepadanya. Ini akan membuatkan si pemangsa takut untuk menggangu anda lagi.

Simpan Bukti

Jika anda adalah mangsa gangguan seksual, pastikan anda simpan semua rekod sebagai bukti anda diganggu. Rekod ini termasuklah nama pemangsa yang terlibat, perlakuannya, gambar, e-mel serta tempat dan masa terjadinya gangguan. Tunjukkan semua bukti tersebut kepada pihak atasan atau pihak sumber manusia.

Kenal Pasti Saksi

Pastikan anda kenal rakan sekerja anda yang melihat kejadian tersebut. Mereka boleh dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai saksi sekiranya diperlukan.

Minta Bantuan

Jika anda adalah mangsa gangguan seksual namun tidak berani untuk bertindak, anda boleh minta bantuan daripada rakan sekerja yang boleh dipercayai. Mereka mungkin boleh memberikan nasihat dan membantu anda untuk membawa hal ini ke pihak atasan.

Tulis E-mel

Anda jugaboleh menulis surat atau hantar e-mel kepada pemangsa mengarahkan mereka untuk berhenti melakukan gangguan seksual. Penting sekali jika anda hantar salinan e-mel tersebut kepada majikannya atau majikan anda.

Jangan Terima Jemputan Mencurigakan

Harus diingati bahawa pemangsa akan melakukan apa sahaja agar mereka dapat tinggal berdua dengan anda. Oleh itu, pastikan anda tidak menerima sebarang tawaran yang mencurigakan yang tidak berkaitan dengan kerja. Sebagai contoh, anda diminta melakukan tugasan luar berdua bersamanya dan anda tidak dibenarkan untuk memberitahu rakan sekerja yang lain. Ini bermakna dia mempunyai niat tidak baik terhadap anda.

Tetapkan Zon Selesa

Anda perlu pastikan yang anda telah tetapkan zon selesa bersama rakan sekerja lelaki. Ini bermaksud, sejauh mana rakan sekerja lelaki boleh mendekati anda. Jika anda rasa dia sudah menceroboh zon selesa, anda boleh cuba menjauhinya.

Jika anda ada perbincangan bersama rakan sekerja atau majikan, pastikan pintu terbuka luas. Ini dapat menghindarkan individu berkenaan mengambil kesempatan kerara rakan sekerja lain dapat melihat apa yang berlaku dalam bilik tersebut.

Bersemuka Dengan Pemangsa

Jangan sesekali anda biarkan pemangsa melakukan gangguang seksual pada diri anda secara berterusan. Beranikan diri untuk bersemuka dengan pemangsa. Bersikap tegas dan bersedia untuk menyelesaikan masalah ini agar perkara ini tidak berlaku pada yang lain.

Berhenti

Jika semua cara sudah dilakukan untuk menghindarinya namun masih tiada jalan penyelesaian maka sudah tiba masanya untuk anda meletakkan jawatan dan mencari kerja di tempat baru. Anda perlu bertindak untuk melindungi diri anda.