Konsert Sulung Ruffedge Sempena Ulang Tahun ke-20

Konsert Ruffedge yang bakal menjadi fenomena dan mengubat rindu peminat mereka.

Kumpulan Ruffedge bakal mengadakan konsert pertama mereka pada 4 Ogos, 9 malam bertempat di KL Live. Ia bakal menjadi sejarah terunggul buat kumpulan ini yang meraikan ulang tahun ke-20 dengan konsert pertama mereka.

‘Ruffedge: 20th Anniversary Concert’ memberi gambaran kumpulan ini sudah cukup bersedia untuk tampil dengan konsert khusus untuk peminat mereka. Ruffedge ditubuhkan pada 1997 dan mula bergerak aktif pada 1998, sebelum berehat sekitar 2008 untuk menjalani arah seni pilihan masing-masing. Setelah 11 tahun menyepi, 2018 menjadi tahun kembalinya kumpulan kegilaan ramai ini dengan barisan anggota Cat Farish, Sein, Azan, Mode dan Zain.

Menjanjikan malam yang tidak akan dilupakan, lagu indah mereka seperti  Bila Rindu, Khayalan, Tipah Tertipu, Lemas, Tiada Lagi Cinta, Da Bomb dan banyak lagi bakal dihidangkan pada malam konsert yang berdurasi hampir dua jam itu nanti. Semua ini pastinya bakal mengubat segala kerinduan yang bersarang dalam diri peminat mereka selama ini!

‘Ruffedge: 20th Anniversary Concert’ dianjur dan diterbitkan oleh MRS Production dan KLP Creative Sdn Bhd. Kedua-duanya menyifatkan pemilihan kumpulan ini adalah tepat pada masanya memandangkan usia matang yang mencecah 20 tahun, serta yakin konsert ini mampu mengubat kerinduan peminat pada Ruffedge yang telah tampak menyepikan diri buat seketika dulu.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan ini juga telah merakamkan karya baru mereka yang diberi nama Seperti Mereka. Lagu dan lirik adalah hasil karya Azan Addin. Ia juga akan dipersembahkan pada malam berkenaan, istimewa buat semua. Lagu ini diedarkan oleh pihak Seventeen Eleven Sdn Bhd.

Tiket konsert mula dijual pada Jumaat, 4 Mei 2018 melalui www.ticketpro.com.my dengan harga: VIP + Meet & Greet (RM233), VIP Zone (RM193), Party Zone + Meet & Greet (RM183), Party Zone (RM143) dan Regular Zone (RM125). Diskaun menarik untuk pembelian awal dan info lanjut boleh anda dapatkan di www.ticketpro.com.my atau hotline 03-78807999.

Kredit foto: MRS Production