Kes Pelajar Panggil Guru “Pondan”, Apakah Had Hukuman Pelajar Yang Dibenarkan?

Pelajar Biadap Tak Boleh Dirotan?

Baru-baru ini tular video dimana seorang ibu bersemuka dengan seorang guru kerana merotan anak perempuannya sehingga lebam dan berbirat di seluruh badan. Menurut guru itu, dia bertindak merotan pelajar itu selepas pelajar itu memanggilnya dengan gelaran cikgu “pondan”.

Foto yang tular di laman sosial.

Kejadian yang berlaku di sebuah sekolah di Johor itu mendapat perhatian satu Malaysia yang rata-rata menyokong tindakan guru itu. Tindakan pelajar itu yang menghina gurunya secara berdepan dianggap satu tindakan yang biadap.

Malah selepas isu itu tular, seorang pelajar di sekolah yang sama dikenali sebagai Agnes memuat naik status di Facebook dan meluahkan rasa simpati terhadap guru tersebut yang disifatkan sangat baik. Luahan yang ditulis dalam bahasa Mandarin itu telah diterjemah dalam bahasa Malaysia.

”Apabila mendengar berita melibatkan cikgu, reaksi pertama saya ialah terkejut kerana cikgu merupakan guru yang sangat baik dan saya merasa sangat sedih. Banyak pelajar yang berpihak kepada cikgu dan sekiranya cikgu jahat dan mengajar secara teruk, saya tak rasa ada pelajar yang akan menyokongnya sekarang,” kata Agnes.

”Cikgu tak perlu ada rasa menyesal kerana ingin membentuk sikap yang baik bagi generasi yang akan datang di negara ini. Ramai juga yang berkata, jika kamu tidak mempunyai anak kamu tidak akan faham tetapi cuba berfikir dengan hati jika ‘anak’ kamu sendiri menghina kamu, adakah kamu boleh menerimanya? Walau apa pun, saya akan terus menyokong cikgu saya,” kata Agnes.

Jelita telah melakukan pencarian mengenai bagaimana hukuman yang dibenarkan terhadap pelajar jika melakukan kesalahan di sekolah. Menurut laman web Jabatan Pendidikan Terengganu, dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru (KPM 1988) – hukuman yang boleh dikenakan ialah Pembuangan Sekolah, Penggantungan Sekolah, Hukuman Dera ( Corporal punishment ), Penahanan (detention) dan Amaran.

Kesalahan pelajar ini yang biadap terhadap guru jatuh dalam kategori Salah Laku Kategori Berat. Hukuman dera (rotan) boleh dikenakan (kecuali ke atas murid-murid perempuan) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959. Dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu dilakukan oleh murid. Hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku telah dapat disahkan.

Walaupun hukuman rotan dikecualikan buat pelajar perempuan, seseorang pelajar itu haruslah menghormati guru dan tidak wajar untuk menghina mereka. Kes rotan ini masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa dan Jelita berharap ia dapat diselesaikan dengan lebih adil. Ingatlah, guru itu ibarat sebatang lilin, yang membakar diri demi menerangi orang lain. Hormati mereka agar ilmu yang dicurahkan mendapat keberkatan.