Kekuatan Kasih Ibu di Layar Perak

Kasihnya ibu membawa ke syurga...

BU Kasih Suci mengangkat tema kekeluargaan yang memberi pendekatan akan kasih seorang ibu dan bagaimana kekuatan kaum hawa dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Filem ini diarahkan oleh Jeany Amir, selain menerima lakonan mantap daripada barisan pelakon hebat tanah air seperti Rashidi Ishak, Nadiya Nisaa, Nadia Brian, Remy Ishak, Dian P.Ramlee, Iedil Putra, Mawar Rashid, Tia Sarah dan Wan Hanafi Su. Sememangnya menjadi karya tempatan yang mesti anda tonton bersama seisi keluarga!

 adalah sinopsis ringkas berkenaan BU Kasih Suci yang telah selitkan tiga kisah utama daripada tiga keluarga berbeza.

SINOPSIS

Impian Kak Mah untuk memperoleh cucu mula retak apabila menantu perempuannya, Diana tidak berhasrat memiliki zuriat dalam masa terdekat kerana memberi fokus terhadap kariernya. Walaupun mendapat sokongan daripada suaminya, Zack, namun Kak Mah tidak bersetuju dengan keputusan itu. Kemelut bertambah apabila kedua mentua dan menantu tidak mengetahui syarikat arkitek milik Zack sebenarnya berhadapan masalah dan terpaksa gulung tikar. Zack secara tidak langsung telah menjadi penganggur.

Aishah, seorang suri rumah berasa hidupnya semakin tertekan dan tidak dihargai apabila suaminya, Norman yang bekerja sebagai doktor lebih fokus pada kerjaya berbanding dirinya. Anak perempuan mereka, Julie pula jarang berada di rumah dan suka bergaul dengan komuniti cosplay.

Hubungan antara Aishah dengan Norman dan Julie yang semakin renggang menyebabkannya mula meragui keputusan sendiri yang sanggup melepaskan impian demi keluarga, namun pengorbanannya seolah tidak dihargai.

Hasrat Hafiz dan isterinya, Norimah termakbul apabila wanita itu disahkan hamil setelah sekian lama. Walaupun Hafiz yang bekerja sebagai tukang masak dipecat, tetapi hubungan mereka semakin rapat, malah Norimah menyokong Hafiz untuk mengejar impiannya menjadi seorang novelis. Bagaimanapun, disebabkan Norimah sudah berumur 40 tahun, kandungan bayinya berdepan dengan risiko tinggi dan perlu dijaga dengan sebaik mungkin.

Keadaan menjadi semakin serius dan garisan kehidupan mereka mula bersilang apabila Zack sedang cuba mencari dan memujuk Diana yang sedang mengamuk, terlanggar Aishah yang tertekan dengan layanan ahli keluarganya. Kandungan Norimah juga dalam bahaya……..

Bagaimana seterusnya perjalanan keluarga ini? Saksikan dalam BU sementara masih ditayangkan di pawagam.