Cara Buat Pemeriksaan Sendiri Payudara

Ini cara yang betul untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara anda

Anda sendiri yang lebih tahu bentuk dan rasa payudara anda sendiri. Elakkan daripada bersikap sambil lewa mengenai kesihatan anda. Melalui pemeriksaan sendiri payudara- Breast Self Examination (BSE), ia boleh menyelamatkan nyawa anda. Jika anda mengesan sebarang perubahan, sila berjumpa dengan doktor dengan segera. Jelita kongsikan cara yang betul untuk lakukan pemeriksaan sendiri payudara.

pemeriksaan sendiri payudara

Gambar: Shutterstock

Ketika melakukan sendiri pemeriksaan payudara, sentiasa perhatikan perubahan berikut:-

  • Saiz, bentuk dan kedudukan payudara
  • Perubahan pada bahagian puting
  • Ruam pada bahagia puting atau kulit payudara
  • Sakit di payudara tetapi tiada sebarang benjolan

Langkah Pertama:

Berdiri di hadapan cermin- lihat pada payudara anda

Lihat secara teliti payudara anda dalam tiga posisi ini:

  1. Dengan lengan di sisi, sambil menghadap ke depan dan berpaling dari sisi ke sisi.
  2. Letakkan tangan di pinggul, bengkokkan sedikit ke hadapan sambil menarik bahu dan siku ke depan.
  3. Dengan diletakkan di belakang kepala, tolak ia ke hadapan. Rasa otot dada anda menegang untuk mendedahkan kontur payudara anda.

Langkah Dua:

Baring atau berdiri di bawah pancuran air- rasa payudara anda

  1. Letakkan tangan di belakang kepala.
  2. Rasa payudara kiri anda menggunakan hujung tiga jari tengah kanan anda. Mulakan pada bahagian pinggir luar sehingga ke bahagian puting, dalam gerakkan bulat kecil.
  3. Akhir sekali, picit bahagian puting secara perlahan untuk melihat jika ia mengeluarkan sebarang cecair atau sebagainya.
  4. Ulang langkah yang sama pada payudara sebelah kanan. Pastikan untuk periksa kawasan tulang selangka dan bahagian bawah lengan anda.

Ingat:-

Lakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan, tujuh hari selepas datang haid. Walaupun pemeriksaan ini adalah digalakkan, namun ia tidak boleh menentukan kehadiran kanser secara tepat.

Oleh itu, sebagai tambahan kepada pemeriksaan sendiri payudara, untuk wanita usia lebih daripada 40 tahun, pemeriksaan payudara secara klinikal dan mamogram juga perlu dilakukan setiap tahun. Bagi wanita di bawah umur 40 tahun, pemeriksaan payudara secara klinikal digalakkan untuk dilakukan sekali setiap tiga tahun.