9 Cara Urus Stres Bagi Mengelak Diserang Strok

Elak strok dengan mengurus tekanan anda dengan bijak.

Tahukah anda bahawa tekanan stres jangka panjang yang kronik boleh menyumbang kepada pelbagai faktor risiko? Apabila ia bertambah buruk, risiko untuk mendapat strok juga akan meningkat. Hormon stres menjadi punca tekanan darah meningkat dan berlarutan untuk jangka masa yang panjang dan akhirnya menyebabkan individu diserang strok.

Gambar : Shutterstock

Menurut Dr Devaraj Pancharatnam, Perunding Pakar Bedah Otak dan Tulang Belakang, Gleneagles Medini Hospital, strok atau angin ahmar adalah kelumpuhan saraf yang berlaku berikutan kekurangan oksigen yang dibawa otak. Ia selalunya disebabkan salur darah tersumbat atau pecah menyebabkan darah tidak dapat mengalir ke bahagian otak yang seterusnya.

“Apabila ini berlaku, sel-sel otak akan kehilangan oksigen dan mula mati. Apabila sel mati ketika mangsa terkena strok, keupayaan yang dikawal kawasan otak tersebut seperti memori dan ¬†kawalan terhadap otot akan terjejas,” katanya.

Berikut adalah beberapa cara yang disyorkan untuk menangani stres di tempat kerja:

1. Ambil Nafas Panjang

Ini membantu membekalkan oksigen kepada otak dan boleh membantu anda untuk bertenang. Teknik meditasi dan mengamalkan yoga juga boleh membantu mengurus stres dengan baik.

2. Kekalkan Persekitaran Tenang

Pejabat biasanya dikatakan antara tempat bertekanan tinggi. Atasi stres dengan menghias kawasan meja pejabat dengan tumbuh-tumbuhan, warna yang tenang, dan barangan peribadi yang boleh memberi kebahagiaan.

3. Tidak Duduk Sepanjang Hari

Jangan habiskan sepanjang hari duduk di kerusi tempat kerja sahaja. Ambil masa beberapa minit untuk  berehat dan melegakan stres. Senaman ringan juga amat digalakkan.

4. Siapkan Kerja Tanpa Tekanan

Lakukan tugasan kerja anda satu demi satu. Jangan cuba menyiapkan semua kerja sekali gus. Jika anda bekerja dengan ketetapan waktu (deadline), urusi tugasan agar tidak membebankan bila ia mengampiri waktu akhir.

5. Seimbangkan Kerja Dan Kehidupan

Kuasai kemahiran mengurus masa dan cari keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi. Masa bersama keluarga adalah cara terbaik untuk bersantai.

6. Kekalkan Rangkaian Sosial Yang Kuat

Sebagai tambahan kepada keluarga anda, luangkan masa bersama rakan dan nikmati aktiviti rekreasi untuk mengurangkan stres

7. Jangan Takut Meminta Bantuan

Jika anda berhadapan dengan stres, digalakkan untuk berbual dengan rakan atau ahli keluarga. Anda juga boleh berjumpa dengan doktor atau menyertai kumpulan sokongan.

8. Pastikan Anda Cukup Tidur

Kurang tidur boleh menyebabkan individu mempunyai mental yang lemah, tidak cerdas, cepat marah, stres, dan naik angin.

9. Nikmati Kehidupan Dan Beri Gajaran Pada Diri

Sama ada pergi spa, makan snek kegemaran atau keluar untuk makan malam yang mewah, anda layak mengambil masa seketika untuk memanjakan diri.