7 Asas Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Kekangan masa antara punca ramai di kalangan anda mengambil jalan mudah dengan menikmati makanan segera kerana ia mudah didapati dan menjimatkan masa

Menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat dan bertenaga memang perlukan komitmen tinggi. Bagi mereka yang bekerja, senaman sudah tidak lagi diutamakan dan stres meningkat akibat tekanan di pejabat. Selain itu, mengekalkan keseimbangan hidup dan kerja menjadi suatu cabaran besar buat sesetengah individu sehingga terpaksa mengabaikan rutin sihat dan penjagaan makanan yang dianggap membosankan.

Ia tidak bermakna seseorang itu perlu mengambil satu jenis makanan sahaja. Sajian yang seimbang perlu diambil dengan menuruti carta piramid makanan supaya badan sentiasa mempunyai tenaga yang mencukupi untuk bertenaga sepanjang hari. Ikuti tip penting memilih makanan sihat yang tidak membosankan.

Gambar : Ingimage

  1. Pelbagaikan Makanan

Kombinasi makanan yang berlainan boleh membekalkan tenaga dan nutrien yang berbeza dalam setiap pemakanan yang diambil. Cara terbaik untuk mendapatkan keperluan harian yang mencukupi ialah dengan mengambil makanan yang terdiri daripada bijirin, buah, sayuran, daging, ikan, ayam dan produk tenusu.

  1. Kekalkan Berat Badan Sihat

Berat badan yang sihat boleh membantu mencegah masalah kesihatan dan seterusnya mencantikkan bentuk badan anda. Turunkan berat badan yang berlebihan dengan mengurangkan pengambilan makanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

  1. Utamakan Bijirin, Kekacang, Buah dan Sayuran

Makanan jenis ini membekalkan karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral, serat dan komponen lain yang penting untuk kesihatan. Ia juga boleh mengurangkan risiko sakit jantung dan sesetengah bentuk kanser.

  1. Kurangkan Makanan Berlemak

Lemak adalah makanan yang penting kepada kesihatan kerana ia membekalkan tenaga, asid lemak penting dan vitamin larut lemak (A,D,E dan K). Tetapi pengambilan lemak secara berlebihan boleh menyebabkan berat badan bertambah dan menjejaskan kesihatan.

  1. Kurangkan Pengambilan Garam

Garam terdapat secara semula jadi dalam makanan mentah dan makanan yang diproses. Jadi apabila memasak anda tidak perlu menambah garam dalam sajian.  Garam (sodium) berlebihan selalu dikaitkan dengan darah tinggi jadi kurangkan pengambilan garam.

  1. Berhemah Dalam Penggunaan Gula

Gula tidak mengandungi nutrien lain dan hanya membekalkan karbohidrat biasa. Pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan khasiat makanan dan menyebabkan kekurangan zat makanan

  1. Pentingnya Air Masak

Minum air masak sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari. Air ialah perkara terpenting dalam tubuh badan. Ia mempunyai banyak fungsi, termasuk penghadaman, penyerapan nutrien, kawalan suhu dan pembuangan kotoran daripada tubuh badan.