[Titik Hitam] Jerat Asmara Dalam Talian

Perangkap cinta alam maya membawa bencana.

Cinta hilang, wang lesap, janda hidup terseksa di penjara.

Kesepian membunuh. Rasa sunyi dan sepi yang perlahan-lahan merayap ke dalam diri membuat jiwa hilang pertimbangan. Meski berada di pusat keriuhan, diri tetap berasa sepi dan kosong. Perasaan ini muncul setelah diri kehilangan insan tersayang. Orang yang dikasihi mungkin ibu, anak atau pasangan telah dijemput Tuhan ke negeri abadi. Insan tercinta yang suatu ketika amat dekat di hati, tempat berbagi cerita, berkongsi  suka duka, teman bicara telah tiada dan sejak ketiadaan mereka, kesunyian melanda diri.

Imej: Depositphotos

Ramai yang tidak mampu menangani perasaan sunyi sehingga diri menjadi tertekan dan paling parah apabila tekanan bertukar menjadi murung. Namun, ada yang tahu menghiburkan diri mereka sendiri dengan mengalihkan fokus melakukan perkara yang disukai.  Manakala mereka yang kehilangan pasangan cuba membahagiakan diri semula mencari cinta baharu. Tapi awas jangan sampai tersalah langkah dan diri menjadi mangsa perangkap cinta; love scam.

Junaidah Husin* berasa langit kehidupannya runtuh menghempap diri setelah suami yang dikasihi pergi mengadap Illahi. Bersama anak lelaki usia 15 tahun dia cuba bangkit semula menata kehidupannya. Mujur dia bekerja jadi masalah ekonomi tidaklah terlalu menghimpit dirinya. Dia dan anaknya menyewa sebuah rumah kecil di pinggir bandar. Meski dia sibuk bekerja di siang hari sebagai pembantu jualan, malam  hari dia berasa amat sunyi. Jika dulu dia dan suami sering berbual-bual selepas makan malam, kini semua itu sudah tiada lagi. Yang ada hanyalah kamar kosong tanpa suami di sisi. Setelah hampir lima tahun sendirian rasa sunyi  yang membungkam di jiwa semakin mendera  perasaannya. Hanya telefon dan media sosial sahaja yang menjadi temannya. Terbit keinginan untuk mencari teman dan akhirnya dia bertemu dengan seorang lelaki di alam maya. Namanya ringkas – Robert*, lelaki yang ditemui di akaun Facebook mengaku berasal dari England. Setiap hari mereka akan ‘berbual’ di alam maya pada awal perkenalan kemudian sambung bercakap di telefon. Kian hari balu kesepian ini semakin seronok melayan jejaka ‘orang putih’ tersebut.

 ‘Kekasih’ Kulit Putih Bermata Biru

Setelah sebulan kononnya ‘bercinta’ dengan jejaka kacak kulit putih mata biru ini, Junaidah mula didengari kisah mengenai duit yang kononnya bakal diterima daripada lelaki ini tetapi ‘tersangkut’ kerana beberapa sebab. Setiap hari Robert menjaja cerita dan mencipta drama dengan kata-kata manis yang sungguh meyakinkan. Kebetulan pula dia jenis yang mudah dipikat apabila diumpan duit ringgit. “Saya betul-betul percaya dengannya. Mungkin kerana Robert gemar menggula-gulakannya dengan ayat manis, pujian dan sentiasa sabar mendengar cerita serta luahan hati saya pada setiap malam. Dia memujuk saya untuk meminjamkannya akaun saya kerana katanya senang kerana saya warga tempatan. Dia juga meyakinkan saya jika dia berjaya mendapatkan wangnya, dia akan menikahi saya dan kami akan bina hidup bersama dengan duit yang bakal dia terima,” kongsi Junaidah, memulakan ceritanya.

Tidak cukup dengan satu akaun dia buka pula akaun lain tanpa menyedari yang kekasih tiruannya itu menjalani aktiviti scam, menipu duit orang ramai. Robert turut menggunakan ‘orang suruhan’ untuk mengambil kad ATM banknya. Orang suruhannya itu turut membuat drama dan cuba yakinkan dirinya dengan cerita mengarut mereka.

“Entah kenapa saya percaya dia seratus peratus.  Hampir setahun dia memberikan akaun dan kad ATM, hati saya berasa tidak sedap tetapi setiap kali bercakap dengan Robert , dia membuat saya percaya semula. Begitulah keadaan berlanjutan sehinggalah akaun saya ditutup pihak bank. Hati saya mula berbelah-bagi tetapi mungkin kerana saya sudah terlanjur rasa sayang dan setiap minggu atau dua kali seminggu menanti-nantikan panggilannya saya biarkan saja tanpa mahu menyiasat apa yang terjadi pada akaun bank  saya,” ceritanya lagi.

Tetapi dia terkejut apabila didatangi polis pada tengah malam yang sekadar memberitahu dia perlu ke balai untuk membantu siasatan kes jenayah sosial. Dia tidak disoal siasat berjam lamanya berkenaan akaun itu dan dimaklumkan ia telah digunakan untuk aktiviti menipu duit orang ramai. Malam itu juga dia terus ke lokap di Semenyih dan hanya dibawa ke mahkamah tiga hari selepas itu untuk mendengar pertuduhan.

“Sekelumit tidak menjangka saya akan terus dihumban ke lokap. Mujur juga sempat sempat menghantar pesanan suara pada anak untuk mencari meminta pertolongan sepupu saya di Kajang. Keluarga saya ada di Perlis dan hubungan kami adik-beradik tidak begitu baik. Saya hanya rapat dengan keluarga arwah mak cik saya,” katanya tenang namun, riak wajahnya terakam seribu sesalan.

Kerana Cinta, Dihumban Ke Penjara

Sewaktu pertuduhan, dia mengaku bersalah kerana tidak mahu menyusahkan anaknya yang ketika itu berusia 20 tahun dan baru mula bekerja. Dia tidak dapat membayangkan anaknya  akan turun naik mahkamah mencari khidmat peguam untuk membela dirinya seandainya dia mengaku tidak bersalah.

“Sewaktu di mahkamah saya melihat muka anak lelaki tunggal saya kusut dan tidak bermaya duduk di belakang bersama sepupu saya.  Hati saya benar-benar sayu dan kesal semakin menyerbu diri. Saya sesal kerana mementingkan kebahagiaan diri tanpa memikirkan risiko bakal dihadapi anak. Kala mendengar jawapan saya bersalah anak saya menjerit memberitahu semua yang ada di situ yang saya  tidak bersalah tetapi diperangkap lelaki durjana. Sedang dia ditenangkan polis mahkamah, saya hanya mampu menangis teresak-esak di kandang pesalah. Hati terasa dihiris sembilu tajam tetapi apakan daya saya tidak mampu berbuat apa-apa,” kata Junaidah meneruskan kisahnya dengan linangan air mata.

Apabila dijatuhkan hukuman dia merayu kepada hakim untuk mengurangkan denda dan meringankan hukumannya memandangkan dia ibu tunggal dan anaknya baru saja bekerja dengan pendapatan yang sangat minimum. Rayuan simpatinya mendapat pertimbangan dan dia dikenakan bayaran minimum juga dua bulan penjara.

“Pengalaman berada di Penjara Kajang benar-benar menginsafkan saya. Dalam usia yang hampir mencecah separuh abad, hidup sebagai banduan benar-benar mencabar. Kebetulan sewaktu itu saya kurang sihat dan tidak berselera makan. Apabila anak arwah ibu saudara saya membantu mengeluarkan saya dari penjara dengan membayar denda, saya berasa sungguh malu. Saya berjanji untuk tidak akan mengulangi kesilapan dan mahu membina hidup baharu bersama anak.”

Menurut Junaidah lagi, sehingga kini dia tidak pernah bercerita  pengalamannya  di penjara pada sesiapa termasuk anaknya. Dia tidak mahu mengingatkan apa yang telah dilalui sepanjang dua bulan di penjara kerana bimbang pengalaman buruk itu akan menghantuinya dan membuat dia berasa tertekan. Dia tidak mahu menjadi beban kepada anaknya sekali lagi. Dia harus bangkit untuk menata kehidupannya semula. “Saya mahu berusaha sedaya upaya untuk menjadi ibu terbaik dan membina kebahagiaan kami dua beranak,” nekadnya.  Dia seboleh-bolehnya mahu membuang kenangan buruk sejauh mungkin  dan mahu terus memadam titik hitam yang telah menodai kanvas kehidupannya.