Mempesonakan, Ini 10 Air Paling Jernih Di Dunia

Dua daripadanya ada di Malaysia

Pantai atau tasik adalah salah satu lokasi percutian yang paling digemari ramai. Lebih menarik jika airnya jernih dan bersih, sudah tentu aktiviti seperti menyelam lebih menyeronokkan. Oleh itu, Jelita kongsikan 10 lokasi dengan air paling jernih di dunia. Percaya atau tidak dua daripadanya ada di Malaysia.

Gambar: Depositphotos

Pulau Linapacan, Palawan, Filipina

Terletak di kawasan pendalaman antara bahagian Pulau Coron dengan bahagian selatan tanah besar Palawan, pulau ini jarang dikunjungi pelancong kerana ia tidak memiliki kemudahan feri awam atau pengangkutan udara untuk pergi ke pulau tersebut. Oleh itu, airnya masih jernih dan kawasan pantainya juga bersih.

Maldives

Terletak di Launtan Hindi, di selatan pulau Lakshadweep, India. Maldives adalah sebuah negara pulau yang mengandungi gugusan kepulauan terumbu karang yang indah. Pulau ini kaya dengan hidupan laut dan terumbu karang. Maldives turut menjadi lokasi percutian pilihan ramai dan ia juga antara lokasi percutian termewah di dunia.

Dog Island, San Blas, Panama

Pulau ini adalah salah satu daripada kawasan simpanan di bawah kepulauan Kuna. Ia juga dikenali sebagai Isla Perro di Panama. Pulau ini sering menjadi tumpuan sebagai lokasi aktiviti snorkeling di Guna Yala kerana airnya yang sangat jernih.

Cayo Coco, Cuba

Pulau ini pula terletak di utara tanah besar Cuba, dan ia pernah dianugerahkan sebagai salah satu dari destinasi utama bagi peminat sukan skuba kerana pulau ini memiliki air yang sangat jernih.

Cala Macarelleta, Menorca, Sepanyol

Terletak di bahagian paling selatan Pulau Mediterranean di Menorca, Cala Macarelleta ini hanya boleh dilawati dengan berjalan kaki atau dengan menaiki bot. Anda boleh mencari ketenangan di kawasan ini kerana selain daripada airnya yang jernih, ia juga lokasi yang paling sunyi berbanding kawasan tumpuan pelancong lain di Sepanyol.

Sua Trench, Samoa

Dalam bahasa Samon, Sua itu bermaksud kolam besar. Keunikan fizikal kolam dan kejernihan airnya menjadi keunikan lokasi ini. Pengunjung yang berkunjung ke tempat ini pasti akan terpukau. Kedalam air kolam semula jadi ini adalah antara 30 meter hingga 50 meter.

Tasik Crater, Oregon

Memiliki kadar penglihatan 43.3 meter, ia adalah antara yang paling dalam boleh dilihat sehingga ke dasar di dunia. Untuk ke tasik ini, anda perlu melalui laluan berbatu. Antara cabaran yang perlu anda hadapi adalah laluan mendaki ketika pulang daripada mengunjungi tasik ini.

Pantai Bak Bak, Borneo

Sesuai untuk aktiviti mandi bersama keluarga kerana airnya yang jernih dan cetek. Untuk sampai ke sini, anda perlu melalui perjalanan ke Kudat yang mengambil masa selama tiga jam 30 minit dari Kota Kinabalu, Sabah.

Semporna, Sabah, Malaysia

Selain Pantai Bak Bak, Semporna juga turut tersenarai sebagai salah satu kawasan yang terkenal dengan kejernihan airnya. Ia juga sering menjadi hub buat peminat yang meminati aktiviti skuba di sekitar skuba. Jika anda berkunjung ke Sabah, jangan lupa untuk berkunjung ke sini.

Tasik Jenny, Wyoming

Terletak berhampiran di kemuncak gunung Grand Teton, yang terkenal di kalangan pendaki. Kejernihan air di tasik ini masih terpelihara walaupun motorbot dibenarkan memasuki kawasan tasik tersebut. Selain air yang jernih, pemandangan di sekitar tasik itu juga amat menakjubkan.