Meghan Markle Berdepan Isu Perkauman Daripada Seorang Ahli Kerabat Diraja England

Tindakan Puteri Michael yang memakai kerongsang yang membawa unsur perkauman pada majlis yang turut dihadiri Meghan Markle telah dikecam oleh netizen.

Tahun ini adalah tahun yang paling menggembirakan buat pasangan Putera Harry dan Meghan Markle apabila pasangan ini mengumumkan berita pertunangan mereka kepada umum. Pasangan ini juga dijangka akan berkahwin pada tanggal 19 Mei akan datang.

Penambahan Meghan Markle dalam kerabat diraja England telah disambut baik oleh Ratu Elizabeth, Putera Charles, Putera William dan juga Kate Middleton. Namun disebalik kegembiraan yang dirasakan oleh pasangan ini, masih ada di kalangan kerabat diraja itu yang seakan masih tidak boleh menerima pelakon itu dalam kehidupan mereka.

Pada Rabu lalu, Meghan telah menyertai Putera Harry dan lebih kurang 50 kaum kerabat diraja yang lain di majlis makan tengahari tahunan pre-Krismas yang telah dianjurkan oleh Ratu Elizabeth sendiri. Meghan telah tampil anggun dan menawan pada hari tersebut.

Menurut People, majlis yang indah itu bertukar muram apabila salah seorang kerabat diraja wanita yang digelar Puteri Michael dari Kent telah tampil dengan pilihan fesyen yang salah. Puteri Michael adalah isteri kepada sepupu Ratu Elizabeth dan pada hari tersebut, dia telah mengenakan kerongsang yang berunsurkan perkauman.

Kerongsang yang dimaksudkan itu telah menggunakan perhiasan “blackamoor” iaitu sejenis perhiasan yang menggambarkan orang berkulit hitam sebagai hamba eksotik. Imej “blackamoor” ini juga memberikan unsur perkauman yang berat.

Rakyat mula mengkritik pilihan fesyen wanita ini dan turut mempersoalkan niat sebenarnya menghadiri majlis tersebut yang turut melibatkan Meghan Markle yang diketahui umum mempunyai darah kacukan ( bapanya berkulit putih manakala ibunya berkulit hitam). Pada Jumaat lalu, wakil Puteri Michael telah mengeluarkan kenyataan maaf daripada Puteri Michael kerana telah memakai kerongsang yang berunsurkan perkauman pada majlis yang dianjurkan Ratu Elizabeth itu.

Tambah wakilnya lagi, kerongsang itu adalah hadiah pemberian dan puteri itu telah memakai kerongsang itu berulang kali dan Puteri Michael berasa sangat menyesal dan sedih kerana ia telah mencetuskan isu besar.

Ini bukan kali pertama Meghan menghadapi situasi seperti ini. Sejak hubungannya bersama Putera Harry menjadi umum, dia terpaksa berdepan dengan komen dan tajuk berita yang berbaur perkauman daripada media British.

Ini juga bukan pertama kali Puteri Michael menampilkan kelakuan yang berunsurkan perkauman. Sebelum ini, kerabat diraja itu pernah memberitahu sekumpulan individu berkulit hitam di sebuah restoran di New York untuk “pulang ke koloni semula.” Puteri itu telah memburukkan lagi keadaan dengan kenyataanya yang berbunyi, “Saya pernah menyamar sebagai rakyat Afrika namun disebabkan oleh rona mata saya, saya tidak dapat meneruskannya, tetapi saya telah mewarnakan rambut saya dengan warna hitam.”